MBSB Bank tanam 1,500 pokok bakau tahun ini bagi atasi perubahan iklim | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank tanam 1,500 pokok bakau tahun ini bagi atasi perubahan iklim

MBSB Bank komited memperjuangkan pemulihan bakau sebagai salah satu inisiatif CSR mereka.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - MBSB Bank Berhad aktif dalam memperjuangkan pemulihan bakau melalui penganjuran Program Penanaman Pokok Bakau sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) utamanya.

 

Program ini merupakan salah satu program CSR bank yang paling konsisten dijalankan bagi menangani perubahan iklim dan menyumbang kepada perjalanan syarikat ke pelepasan sifar.

 

Pemulihan bakau adalah penting kerana ia menyediakan kekayaan biodiversiti makanan dan habitat kepada pelbagai hidupan liar dan berfungsi sebagai perlindungan kawasan pantai.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib, pihaknya secara konsisten menyokong projek pemulihan bakau di pelbagai wilayah di seluruh negara sejak 2021. 

 

Katanya, pokok-pokok itu akan menyerap sehingga berjuta-juta kilogram karbon dioksida seumur hidup dan menerusi penggabungan lumpur dan tanah sekeliling, jumlah karbon yang disimpan boleh menjadi tiga hingga empat kali lebih banyak daripada jumlah yang disimpan pokok di darat.

 

"Kami menjangkakan untuk menanam 1,500 pokok bakau tahun ini. Setakat ini, kami menanam 500 pokok bakau pokok dengan bantuan pekerja sukarela kami di Kedah, Selangor dan Sabah. 

 

"Selain itu, lebih banyak pokok bakau dijangka tumbuh di Johor, Pahang dan Sarawak dalam beberapa bulan akan datang sempena memperingati Hari Bakau Antarabangsa pada 26 Julai," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

mbsb

 

 

Antara spesies bakau yang ditanam termasuklah ‘Rhizophora Apiculata’, dikenali sebagai ‘Bakau Minyak’ dan ‘Rhizophora Mucronata’, yang dikenali ‘Bakau Kurap’. 

 

Selain itu, pertumbuhan pokok berkenaan dipantau menggunakan sistem tag yang memudahkan penyelenggaraan pokok dan menghalang pencerobohan.

 

 

mbsb

 

 

MBSB Bank menyasarkan untuk membawa impak positif dan mampan kepada ekonomi, masyarakat dan alam sekitar dengan mengguna pakai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dalam operasi kerana ia juga merupakan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Global Compact Malaysia dan Brunei. - DagangNews.com