KUALA LUMPUR 3 Nov - MBSB Bank Bhd memulakan perkhidmatan perbankan hujung minggu di mana ia akan mengendalikan tiga cawangannya pada dua Sabtu bulan ini.
Menurut MBSB, inisiatif perbankan hujung minggu itu adalah untuk menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan seperti pembukaan akaun, pembiayaan, takaful serta permohonan dan pengeluaran kad debit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, sebagai sebuah institusi kewangan, adalah menjadi tanggungjawab MBSB untuk sentiasa menyemak dan menambah baik perkhidmatan cawangan bagi memenuhi keperluan perbankan pelanggan.
“Kami gembira dapat membantu pelanggan kami walaupun pada hujung minggu.
"Masa adalah komoditi yang berharga, dan kami berharap pelanggan kami akan mendapat manfaat daripada ini sambil menyediakan peluang perbankan baharu kepada orang ramai dan bakal pelanggan daripada aktiviti pada perbankan hujung minggu,” kata beliau dalam kenyataan di sini.
Cawangan MBSB di PJ Sentral, Pulau Pinang, dan Johor Bahru akan dibuka dari 9 pagi hingga 3 petang pada 5 Nov dan 26 Nov 2022. – DagangNews.com