MBSB lancarkan 'FLIGHT26' pelan perniagaan strategik tiga tahun pacu keuntungan Kumpulan | DagangNews Skip to main content

MBSB lancarkan 'FLIGHT26' pelan perniagaan strategik tiga tahun pacu keuntungan Kumpulan

Dari kiri: Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MBSB, Shahnaz Farouque Jammal; Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Jun - Malaysia Building Society Berhad (MBSB) yang bakal dinamakan semula sebagai MBSB Berhad melancarkan FLIGHT26 - pelan perniagaan strategik tiga tahun yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan keuntungan Kumpulan.

 

Pelancaran pelan tersebut juga merupakan agenda utama Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-54 Kumpulan itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef menggariskan empat misi utama pelan itu iaitu meningkatkan nisbah akaun semasa akaun simpanan (CASA) Kumpulan kepada 20%, mengembangkan portfolio pembiayaan kepada RM50 bilion dan meningkatkan pendapatan bukan faedah kepada 15% daripada hasil bersih.

 

Misi keempat adalah mencapai secara optimum nisbah kos kepada pendapatan 50% menjelang 2026 dan semua inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan pulangan atas ekuiti dengan ketara, kata Rafe.

 

“Untuk merealisasikan matlamat ini, FLIGHT26 disokong oleh TP30, yang terdiri daripada 30 program transformasi. 

 

"Ini termasuk 12 program dalam Perbankan Borong, enam dalam Perbankan Komersial, sembilan dalam Perbankan Pengguna, dan tiga dalam Perbankan Digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 1Q MBSB naik 6% hasil penyatuan dengan Kumpulan MIDF

 

MBSB juga katanya, menekankan komitmen terhadap tanggungjawab alam sekitar dan sosial, setelah membangunkan Strategi Sifar Bersih dan Rangka Kerja Kewangan Mampan & Peralihan untuk membimbing aktiviti pembiayaan dan pelaburannya.

 

"Pencapaian ketara termasuk pembiayaan hijau MBSB Bank yang melebihi RM500 juta dan portfolio hijau MIDF yang kini mewakili 13% daripada jumlah asetnya.

 

“Dalam operasi MBSB, kami bukan sahaja menumpukan pada mengurangkan risiko tetapi juga membuka peluang baharu untuk pertumbuhan dan inovasi. Dedikasi kami terhadap kemampanan memastikan daya maju jangka panjang perniagaan kami dan kesejahteraan komuniti yang kami layani,” jelasnya.

 

MBSB

 

Sementara itu, AGM ke-54 itu turut menyaksikan para pemegang saham meluluskan semua resolusi, termasuk cadangan penting untuk menamakan semula syarikat itu daripada Malaysia Building Society Berhad kepada MBSB Berhad.

 

Perubahan ini mencerminkan evolusi Kumpulan menjadi entiti perbankan yang lebih besar berikutan kejayaan penggabungan dengan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) yang telah selesai pada 2 Oktober 2023.

 

Semasa mesyuarat itu, MBSB melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM491.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, menandakan peningkatan 6.9% daripada tahun sebelumnya.

 

Jumlah pembiayaan Kumpulan meningkat 9% kepada RM42.0 bilion yang melepasi purata pertumbuhan industri sebanyak 5%, manakala deposit pelanggan melonjak sebanyak 30.58% tahun ke tahun, mencecah RM47.62 bilion.

 

Pertumbuhan dalam deposit juga menandakan peningkatan progresif dalam nisbah CASA daripada 6.22% kepada 7.06%.

 

Mesyuarat itu turut meluluskan dividen sebanyak 3.5 sen sesaham biasa. - DagangNews.com