MBSB terima kelulusan pemegang saham untuk ambil alih MIDF pada harga RM1.01 bilion | DagangNews Skip to main content

MBSB terima kelulusan pemegang saham untuk ambil alih MIDF pada harga RM1.01 bilion

MBSB mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa pada hari ini bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham kumpulan mengenai pengambilalihan MIDF.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Malaysia Building Society Berhad (MBSB) menerima kelulusan pemegang saham untuk membeli Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada harga RM1.01 bilion yang akan dipenuhi melalui terbitan 1.05 bilion saham MBSB pada 96.52 sen sesaham.

 

Berikutan cadangan pengambilalihan itu, yang dijangka siap pada Ogos tahun ini, MIDF akan menjadi anak syarikat milik penuh MBSB manakala PNB akan muncul sebagai pemegang saham besar MBSB dengan pegangan ekuiti sebanyak 12.78%.

 

Sementara itu, pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MBSB akan dikurangkan daripada 65.87% kepada 57.45%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rafe Haneef berkata, penggabungan itu akan mengembangkan spektrum perbankan MBSB.

 

Beliau berkata, terdapat pertindihan minimum antara asas pelanggan dan penawaran produk anak syarikat milik penuh MBSB, MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan MIDF.

 

MBSB
Rafe Haneef (tengah) bersama Ketua Pegawai Strategi MBSB Bank, Datuk Azlan Shahrim dan Ketua Pegawai Kewangan MBSB Group, Ramanthan Rajoo ketika menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa kumpulan itu, hari ini.

 

"Kumpulan akan berada dalam kedudukan untuk menawarkan perkhidmatan perbankan hujung ke hujung, yang terdiri daripada Perbankan Pengguna, Pembrokeran Saham & Pengurusan Aset, Perbankan Komersial, PKS & Kewangan Pembangunan serta Perbankan Korporat & Pelaburan, memberikan perkhidmatan kepada asas pelanggan yang lebih luas yang melangkaui pelanggan sedia ada MBSB Bank dan MIDF," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kumpulan yang diperbesarkan itu akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan melalui gabungan keupayaan digitalnya serta rangkaian 53 cawangan di seluruh negara, yang terdiri daripada 47 cawangan dari MBSB Bank dan enam cawangan dari MIDF.

 

MIDF merupakan pemain utama dalam perbankan pelaburan, pengurusan aset dan pakar dalam kewangan pembangunan yang memberi tumpuan terutamanya dalam pasaran perusahaan kecil dan sederhana.

 

Sejak penubuhannya pada 1960, MIDF telah mengembangkan francais perbankan pelaburannya dan membangunkan keupayaan khusus untuk menawarkan rangkaian penuh perbankan pelaburan dan perkhidmatan berkaitan kepada pelanggan korporat dan individu bernilai tinggi. - DagangNews.com