McDonald's Malaysia rai 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi 2021 | DagangNews Skip to main content

McDonald's Malaysia rai 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - McDonald's Malaysia meraikan 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi 2021, sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan pada tahun ini.

 

Anugerah yang kini memasuki tahun kelima penganjurannya menerima lebih 4,000 pencalonan daripada rakyat Malaysia sejak 2 April hingga 18 April 2021.

 

"Anugerah Guru Inspirasi menjadi platform untuk mengetengahkan golongan pendidik sebagai insan luar biasa dan wira dalam kehidupan seharian kita.

 

“Kami menerima pelbagai kisah menarik mengenai guru-guru yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan balasan atau ‘go the extra mile’ untuk memupuk minda generasi muda dan membina asas kukuh yang akan membentuk masa depan mereka.

 

"Kisah-kisah yang kami terima menceritakan dedikasi dan komitmen tidak berbelah bahagi guru-guru ini dalam melaksanakan tugas harian mereka, sama ada besar atau kecil, yang membentuk keseluruhan profesion mereka,” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar dalam satu kenyataan.

 

Menurut Azmir, banyak pencalonan tahun ini mengisahkan kekuatan dan ketabahan para guru dalam mendepani keadaan pandemik semasa, dengan menerapkan kreativiti dan kesungguhan untuk terus berhubung dengan pelajar mereka.

 

Salah seorang penerima anugerah, Nur Fadhlina dari Sekolah Kebangsaan Gopeng, Taman Gopeng Baru di Perak memanfaatkan YouTube sebagai platform untuk mengajar para pelajar beliau dan memberi tips kepada guru lain yang berhasrat menghasilkan video sebagai bahan pengajaran.

 

Saluran YouTube beliau @LinnZack kini mendapat langganan daripada lebih 19,000 orang, jelas McDonald's Malaysia.

 

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, Ling Fong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin di Sabah, bekerja keras dan tidak segan untuk belajar menguasai bahasa isyarat untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid kurang upaya pendengaran di sekolah tersebut.

 

"Kisah-kisah ini hanyalah sebahagian daripada pengorbanan besar dan dedikasi golongan pendidik.

 

"Banyak persiapan dan buah fikiran diperlukan untuk menyampaikan idea-idea baharu, seperti bahan pengajaran yang berkesan untuk pembelajaran jarak jauh, dan pada masa sama mengekalkan minat anak-anak kita.

 

"Ini adalah tanggungjawab besar, dan guru-guru yang kita raikan hari ini menggalas tugas berat ini dengan bersemangat dan sepenuh jiwa raga,” tambah Azmir.

 

Para penerima anugerah dipilih oleh panel hakim yang terdiri daripada wakil-wakil dari McDonald's, Kementerian Pendidikan, dan media.

 

Setiap penerima membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, manakala pencalon mereka pula menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan. - DagangNews.com