Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 4 Jan - Pegeluar supercar mewah, McLaren Automotive hari ini mengumumkan pelantikan Paul Harris bagi menerajui operasi jenama itu di rantau Asia Pasifik dan China.
Berkuat kuasa serta merta, Harris yang dilantik sebagai pengarah urusan akan bertanggungjawab terhadap jumlah jualan serantau, pemasaran dan operasi dalam pasaran yang semakin penting untuk syarikat.
Harris akan menguruskan pelbagai portfolio untuk pasaran melibatkan 11 negara dan rantau merangkumi China, Australia, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, and Thailand.
Selepas mengambil kira kepentingan perniagaan di rantau itu, McLaren memilih Pudong sebagai lokasi pembukaan pusat perniagaannya yang ke-100 sebagai penanda aras sedekad syarikat itu.
Harris sebelum ini merupakan pengarah wilayah untuk Rolls-Royce Motor Cars dan beliau menghabiskan masa tiga dekad setengah di dalam sektor perniagaan automotif mewah.
Pengarah Eksekutif Komersial McLaren Automotive, George Biggs berkata, Harris merupakan seorang yang berpengetahuan luas bukan sahaja di wilayah itu tetapi perniagaan automotif mewah dan mempunyai maklumat mengenai perniagaan serta pelanggan.
"Ia adalah masa yang terbaik untuk menyertai McLaren dan kami memberi tumpuan kepada usaha meluaskan perniagaan jenama mewah kami kepada dunia dan disesuaikan mengikut wilayah," katanya.
Sementara itu Harris mengakui sangat gembira kerana dapat menyertai pasukan yang sangat berpengalaman dan jenama yang cukup terkenal di pasaran Asia Pasifik dan China.
"Kepelbagaian yang ada di rantau ini akan menawarkan peluang untuk meluaskan rangkaian jenama McLaren.
"Pelanggan setia kami akan terus bersama kami kerana jenama ini menawarkan kombinasi kemewahan dan teknologi tinggi buatan tangan. Saya akui tidak sabar untuk memulakan tugasan," katanya. - DagangNews.com