CYBERJAYA 29 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd. dan Celcom Axiata Bhd. (Celcom)
Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa kini dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.
Oleh yang demikian, MCMC telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini.
Pada 1 April 2022, MCMC telah mengeluarkan Pernyataan Isu kepada kedua-dua entiti selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara dalam sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti oleh MCMC.
"Justeru, Celcom dan Digi telah mengemukakan suatu akujanji yang mengandungi komitmen mereka untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC di dalam Pernyataan Isu.
"MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh kedua-dua entiti dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Salinan akujanji itu boleh dimuat turun dari laman web MCMC di pautan: https://mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Undertaki ng-Public-Version.pd - DagangNews.com