MCMC nasihat jimatkan penggunaan peralatan komunikasi di kawasan banjir | DagangNews Skip to main content

MCMC nasihat jimatkan penggunaan peralatan komunikasi di kawasan banjir

SEORANG penduduk meredah kawasan banjir di Pantai Timur. - Gambar Bernama

 

CYBERJAYA 7 Jan - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai badan kawal selia penyedia perkhidmatan telekomunikasi prihatin terhadap kejadian banjir yang sedang melanda beberapa buah negeri ketika ini.

 

Terdapat juga kawasan yang mengalami gangguan perkhidmatan ekoran terputusnya bekalan elektrik di menara komunikasi.

 

Sejajar dengan usaha untuk memastikan perkhidmatan komunikasi yang stabil, pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah menyediakan pelan pemulihan bencana untuk mengelakkan gangguan perkhidmatan yang berpanjangan.

 

Antaranya, menempatkan generator/bekalan kuasa di platform yang dinaikkan, menggunakan genset sementara atau kekal, menaik taraf bateri sandaran serta menyediakan Base Transceiver Station (BTS) mudah alih sementara di pusat pemindahan.

 

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka dan berwaspada dengan perkembangan terkini. Jimatkan penggunaan peralatan komunikasi sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan anda dan hanya digunakan untuk urusan penting seperti membuat panggilan kecemasan.

 

Sekiranya terdapat sebarang gangguan perkhidmatan di kawasan anda, sila hubungi syarikat telekomunikasi yang terlibat bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dilaksanakan. - DagangNews.com