MDC Asia Link sasar penyenaraian di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

MDC Asia Link sasar penyenaraian di Bursa Malaysia

Perasmian Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi, Kota Damansara yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MDC Asia Link, Dr. Aslan Bacho (kiri), semalam.

KUALA LUMPUR 21 Mac - MDC Asia Link Bhd., syarikat yang terbabit dalam perkhidmatan kesihatan melangkah setapak lagi ke hadapan dengan pembukaan semula secara rasmi Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi, Kota Damansara, Selangor bermula 20 Mac 2022. 

 

Ketika ini, kumpulan memiliki lebih 14 rangkaian klinik pergigian My Dental Care di sekitar Lembah Klang, farmasi serta aplikasi mudah alih Hi-Doktor dengan inisiatif Digital Health Citizen (DHC).

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MDC Asia Link, Dr. Aslan Bacho berkata, kumpulan akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM250 juta bagi memastikan pelan pelaksanaan memperluaskan Hospital Bersalin dan Poliklinik MDC Pusrawi sehingga 2025 dapat tercapai.

 

Katanya, jumlah itu juga akan digunakan untuk membuka sebuah hospital pakar pergigian, 4 hospital bersalin dan 99 rangkaian klinik pergigian serta perubatan menjelang 2025.

 

"Kumpulan kini berada di landasan tepat untuk memastikan perancangan itu dapat dilaksanakan terutama dengan pembukaan hospital pertamanya di Kota Damansara yang lebih awal daripada jangkaan.

 

"Malah, pembukaan semula hospital ini menjadi titik permulaan kepada kumpulan untuk terus memperkukuhkan kehadiran dalam sektor kesihatan halal di Malaysia dan seluruh rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata demikian sempena perasmian hospital tersebut, semalam yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

 

Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi , Kota Damansara akan menjadi cawangan flagship kepada operasi kumpulan yang lain dari segi pengurusan, operasi dan reka bentuk dalaman serta luaran. 

 

Ia juga akan menjadi hospital yang menyediakan perkhidmatan komprehensif semua dalam satu yang diperlukan oleh ibu dan bayi daripada fasa mengandung, bersalin dan berpantang.

 

Menurut Dr. Aslan, MDC Asia Link juga optimis, langkah pembukaan hospital tersebut dan perancangan masa hadapannya memiliki lebih banyak hospital akan membantu perancangan jangka masa kumpulan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Jelasnya, perancangan kumpulan memiliki hospital serta pelbagai perkhidmatan kesihatan lain adalah bagi memberikan orang ramai pilihan perubatan yang terbaik pada harga mampu milik.

 

"Pandemik COVID-19 telah meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta memberikan lonjakan positif kepada sektor kesihatan.

 

"Selain itu, langkah agresif kumpulan ini juga turut menyumbang kepada sumbangan sektor kesihatan dan perubatan kepada ekonomi negara serta memberi peluang pekerjaan yang baru kepada tenaga kerja tempatan," katanya. 

 

Beliau juga memberitahu, pelbagai perkhidmatan akan ditawarkan di hospital itu dalam tempoh akan datang, menjadikannya sebagai hospital yang komprehensif dalam bidangnya.- DagangNews.com