MDEC bantu Rijal Fikry kembangkan Hero Seafood | DagangNews Skip to main content

MDEC bantu Rijal Fikry kembangkan Hero Seafood

Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC, Aiza Azreen Ahmad

 

 


KUALA LUMPUR 4 Jun - Sepakan kencang pada satu sesi latihan bola sepak pada malam beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini memberi kepuasan tersendiri kepada Muhammad Rijal Fikry Yusoff.


 
Namun, Rijal Fikry, 27, tidak menyangka itu merupakan ‘detik-detik terakhirnya’ selaku pemain bola sepak profesional bersama PDRM FC yang beraksi dalam Liga Perdana.

 

Ini kerana kontraknya ditamatkan oleh skuad The Cops.

 

Tidak mahu meratapi 'kehilangan kerja' itu terlalu lama, bekas pemain bola sepak pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) yang juga pernah mewakili negara di peringkat remaja ini terus memilih untuk mengorak langkah dalam dunia perniagaan dengan memberi tumpuan kepada perniagaan makanan laut secara dalam talian.

 

Beroperasi di sebuah tapak kecil di Sungai Kantan, Kajang, Rijal Fikry mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak beberapa bulan lalu namun tidak dapat memberi tumpuan penuh disebabkan terikat dengan jadual latihan yang padat serta perlu mengikuti trip pasukan ke beberapa negeri untuk perlawanan bola sepak.

 

 

Asri Mardzuki (kini) dan Rijal Fikry (kanan) kini bergelar usahawan dalam talian selepas menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.
Asri Mardzuki (kini) dan Rijal Fikry (kanan) kini bergelar usahawan dalam talian selepas menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.

 

 

Membangunkan perniagaannya menggunakan jenama Hero Seafood, anak jati Sik, Kedah ini bersama bekas seorang lagi pemain Harimau Muda, Asri Mardzuki menawarkan perkhidmatan penghantaran ikan segar ke kawasan berhampiran termasuk Bangi, Ampang, Kajang, Cheras, Puchong, Seri Kembangan dan Putrajaya.

 

“Selepas 3 hari beroperasi, Hero Seafood berjaya menjual hampir 1,000 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan, 500 kg udang, sotong dan ketam selain turut menjual lebih 300 ekor ayam kepada pelanggan. 

 

"Bagi melancarkan operasi, kami mengupah 5 pekerja untuk membantu,” katanya.

 

Ditanya mengenai rahsia perniagaannya mendapat sambutan memberangsangkan dalam tempoh singkat, dia yang juga pemegang Ijazah Sarjana Sains Sukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, perniagaannya menggunakan kaedah pemasaran digital.

 

“Pelanggan melayari laman sosial Hero Seafood dan membuat tempahan dan pembayaran. Pesanan akan dihantar kepada mereka dalam tempoh kurang 2 jam bagi memastikan kesegaran makanan laut yang ditempah. 

 

"Pada awalnya saya juga tidak begitu mahir. Di atas saranan seorang rakan, saya melayari laman web Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mempelajari tips pemasaran digital menerusi Go E-Commerce),” katanya.

 

Beliau turut melayari saluran Youtube MDEC untuk melihat kejayaan peniaga-peniaga lain yang mendapat bimbangan MDEC untuk adaptasi pendigitalan berjaya melonjakkan perniagaan masing -masing.

 

Katanya, pada masa sama, dia bersyukur kerana dapat membantu individu mendapat pekerjaan lebih-lebih lagi dalam suasana tidak menentu ketika pandemik COVID-19 terus ‘menyerang’ negara ini.

 

Ditanya mengenai perancangan perniagaan, Rijal Fikry memberitahu, Hero Seafood sedang dalam proses untuk menggunakan aplikasi Yezza untuk menjual produk dan memudahkan perniagaan. 

 

Beberapa hari lalu, ujarnya syarikat telah melancarkan laman web iaitu https://heroseafood.my yang menawarkan beberapa pakej jualan makanan laut mengikut pilihan pelanggan.

 

“Saya juga telah mendaftar untuk menyertai program 100 Go Digital anjuran MDEC bagi mendigitalkan perniagaan dan mengatasi gangguan yang wujud akibat situasi semasa,” katanya.

 

Berhubung dunia bola sepak yang diceburinya sejak di bangku sekolah rendah, Rijal Fikry yang pernah mewakili skuad Piala Presiden Kedah berkata, dia tidak ‘menggantung but’ secara total kerana masih berminat lagi untuk bermain.

 

“Saya masih menjaga kecergasan dengan membuat latihan larian pada setiap hari namun biarlah masa yang menentukannya. 

 

"Selepas perniagaan stabil, saya turut menimbangkan untuk menyambung pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang sains sukan kerana mendapat tawaran dari sebuah universiti tempatan,” katanya mengakhiri perbualan bersama wakil MDEC baru-baru ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC, Aiza Azreen Ahmad berkata, agensi berkenaan sentiasa menggalakan usahawan tempatan bergerak ke arah pendigitalan supaya terus berdaya saing, lestari dan mampu bertahan dan berkembang ketika pandemik global.

 

MDEC telah melancarkan program 100 Go Digital Coaching yang menggabungkan pelbagai komponen secara hands-on dalam memimpin peserta untuk memastikan mereka mencapai prestasi baik dalam perniagaan. 

 

"Kisah usahawan seperti Rijal Fikry ini yang menggunakan pendekatan digital dalam perniagaannya telah menunjukkan hasil dalam tempoh singkat," katanya.

 

Pada masa hadapan, MDEC menerusi kepelbagai inisiatif mahu membimbing lebih banyak perniagaan tempatan mengembangkan operasi berteraskan teknologi terkini. 

 

Usaha ini selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang bertujuan untuk menyokong kira-kira 875,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro ke platform digital menjelang 2025. - DagangNews.com