MDEC, CIMB tandatangani MoU pembiayaan RM25 juta untuk pertanian digital | DagangNews Skip to main content

MDEC, CIMB tandatangani MoU pembiayaan RM25 juta untuk pertanian digital

SURINA SHUKRI (dua kiri, depan) dan Ahmad Shahriman Mohd Shariff (dua kanan, depan) selepas menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Saifuddin Abdullah (tengah). Turut hadir, Ronald Kiandee (kiri sekali) dan Rais Hussin (kanan sekali). 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 April – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan CIMB Islamic hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperluaskan platform pembiayaan mikro dengan peruntukan RM10 juta sebagai pakej pendanaan awal untuk memangkin Teknologi Pertanian Digital (Digital Agtech) di Malaysia. Peruntukan ini berpotensi untuk ditingkatkan kepada RM25 juta setelah program ini mula dilaksanakan.

 

Jelas agensi itu, MDEC yang telah lama menyokong pendigitalan sektor pertanian melalui konsep kerjasama awam swasta dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) sebelum ini melaksanakan projek perintis pada 2018 bertujuan meningkatkan hasil dan kualiti tanaman menggunakan teknologi terkini.

 

Menerusi kerjasama berkenaan, petani kawasan itu didedahkan dengan penggunaan sistem fertigasi berasaskan Internet Kebendaan (IoT) yang telah membantu mereka mengurangkan penggunaan baja bulanan sebanyak 20%, menurunkan tenaga kerja bulanan sebanyak 25% dan meningkatkan kualiti hasil (cili Gred A) hingga 90%.

 

Kemuncak kepada usaha sama itu, MoU yang ditandatangani dengan penglibatan CIMB Islamic bertujuan meluaskan lagi inisiatif berkenaan ke seluruh negara secara berskala besar bagi menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan negara, kata MDEC.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pada 2020, digital telah menjadi fokus utama perniagaan yang juga penting buat sektor pertanian.

 

“Ini merupakan teras penting bagi MDEC dan CIMB Islamic kerana berjaya memperkenalkan akses kepada teknologi terkini seperti IoT, kecerdasan buatan (AI) dan analitis data raya (BDA) kepada para petani dan seterusnya mendigitalkan sektor ini.

 

“Ini sejajar dengan jangkaan kadar pertumbuhan sebanyak 30% untuk produktiviti. Perkembangan hari ini sangat penting bagi memastikan teknologi digital akan dapat diaplikasi dengan cepat sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memajukan ekonomi digital yang sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang diperkenalkan kerajaan.

 

"Kerjasama ini merupakan permulaan untuk langkah seterusnya ke arah mengubah sektor pertanian kepada pendigitalan di peringkat nasional,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Beliau hadir untuk menyaksikan majlis menandatangani MoU membabitkan MDEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri dengan CIMB Islamic diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.

 

SAIFUDDIN ABDULLAH (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU oleh Surina Shukri (duduk, kiri) dan Ahmad Shahriman Mohd Shariff (duduk, kanan). Turut serta, Ronald Kiandee (kiri sekali) dan Rais Hussin (kanan sekali).
SAIFUDDIN ABDULLAH (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU oleh Surina Shukri (duduk, kiri) dan Ahmad Shahriman Mohd Shariff  (duduk, kanan). Turut serta, Ronald Kiandee (kiri sekali) dan Rais Hussin (kanan sekali). 

 

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin.

 

Kemudahan pembiayaan itu akan mengurangkan kesukaran dihadapi petani Malaysia untuk memulakan perjalanan digitalisasi dan seterusnya memacu peningkatan, kemajuan dan pengoptimuman bagi pertumbuhan sektor pertanian secara keseluruhan.

 

Menerusi kerjasama dengan CIMB Islamic yang menawarkan faedah terendah dalam pembiayaan pertanian pada kadar 3.5% setahun bukan hanya akan memberi manfaat kepada petani sedia ada tetapi juga akan mendorong lebih banyak anak muda untuk menyertai sektor ini, ujar MDEC.

 

Inisiatif Digital utama terkini oleh MDEC seperti program eLadang telah berjaya menarik 548 peserta sehingga Disember 2019.

 

Daripada jumlah tersebut, seramai 78 petani telah menggunakan teknologi pertanian digital yang menyaksikan peningkatan produktiviti sebanyak 20% dan pendapatan mereka turut melonjak 30%, menurut MDEC.

 

Kata agensi itu lagi, ia juga menyaksikan petani berjaya mengurangkan kos operasi sebanyak 30% selain tiga makmal digital juga diwujudkan untuk melatih, mengiktiraf dan mendorong penggunaan teknologi digital dalam pertanian.

 

Sementara itu, Ronald berkata, kerjasama MDEC dan CIMB Islamic akan membuka laluan pertumbuhan baharu bagi petani ketika mereka mula menyertai ekonomi digital dan memperoleh lebih banyak faedah dalam situasi gangguan yang wujud ketika ini.

 

"Ini seterusnya akan mendorong lebih banyak anak muda menceburkan diri ke dalam sektor pertanian bagi terus menyuburkan industri pertanian negara.

 

"Usaha sama ini membolehkan para petani menggunakan pendekatan digital dan menikmati faedah yang ditawarkan oleh sektor pertanian terutamanya membabitkan peningkatan tenaga kerja berkemahiran dan pertanian selaras dengan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan yang telah diperkenalkan dalam Belanjawan 2021,” tambah beliau.

 

Menerusi MoU itu, CIMB Islamic akan memberikan sokongan dana dan insentif untuk membantu transformasi digital sektor pertanian melalui penggunaan digital secara besar-besaran.

 

Bank berkenaan juga akan terus menyokong MDEC dan bekerjasama secara progresif dengan rakan industri yang relevan untuk meningkatkan penggunaan AI, IoT dan BDA dalam pertanian. – DagangNews.com