MDEC harap Bajet 2021 tumpu ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

MDEC harap Bajet 2021 tumpu ekonomi digital

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri

 

 


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berharap Belanjawan 2021 esok akan memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan lagi sektor ekonomi digital yang ketika ini memainkan peranan penting dalam membantu negara untuk pulih ekoran pandemik COVID-19.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, MDEC percaya Kementerian Kewangan mempunyai tawaran menarik yang akan menyokong aspirasi agensi ini untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

 

Sehubungan itu, katanya, MDEC memerlukan sokongan berterusan bagi menyokong tiga teras utamanya termasuk pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula, tumpuan kepada pembangunan bakat digital untuk menjana pendapatan dan seterusnya insentif yang menarik pelaburan digital termasuk sektor kandungan kreatif digital tempatan.

 

“Sebenarnya, pada tahun ini, Kementerian Kewangan dan MDEC telah bekerjasama untuk merancakkan sektor e-dagang di negara ini melalui dua inisiatif, iaitu Shop Malaysia Online PENJANA dan Kempen e-Dagang bagi PKS dan usahawan mikro. 

 

"Kedua-dua program ini telah meraih jualan lebih RM1.2 bilion dan sudah pasti kita mengharapkan jalinan ini diperkukuhkan menerusi perincian Belanjawan 2021 akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Menurut beliau, usaha pendigitalan PKS tempatan dan usahawan mikro sangat penting kerana sektor ini merupakan tulang belakang ekonomi negara yang mewakili hampir 90% perniagaan domestik yang seterusnya menjana peluang pekerjaan.

 

“Kerajaan turut berharap PKS dan mikro tempatan dapat berubah ke arah pendigitalan bagi melakukan lonjakan digital seterusnya merebut manfaat perdagangan rentas sempadan. 

 

"Usaha ini telah bermula dan kita mahu meneruskan pada skala lebih besar untuk mendominasi pasaran serantau dan seterusnya global,” katanya.

 

Bagi bidang pembangunan bakat pula, jelas Surina, MDEC merancang untuk meneruskan program–program seperti inisiatif #mydigitalmaker, Pembangunan Modal Insan Ekonomi Digital, Memupuk Jaguh Tempatan Menghasilkan Kandungan Digital, Tenaga kerja Dalam Talian Global atau GLOW Global Online Workforce (GLOW) dan e-Rezeki yang memberi peluang kepada rakyat menjana pendapatan secara dalam talian.

 

Katanya, usaha berterusan ini akan memperkasa cita-cita Malaysia untuk menjadi hab pelaburan digital dan sebagai batu loncatan untuk memasuki pasaran Asia Tenggara. 

 

"Ketika ini, pelbagai perkhidmatan perniagaan global berasaskan digital dan platform ekosistem data telah memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi serantau mereka. 

 

"Ini sekali gus mengesahkan status Malaysia sebagai hab serantau berteknologi tinggi dan pengembangan inovasi yang menarik,” tambah beliau.

 

Surina berkata, bagi sektor pelaburan digital, MDEC berharap kerajaan akan terus menyokong pelbagai inisiatif digital yang terus menarik pelaburan digital terutamanya Inisiatif Pembangunan Industri Untuk Kandungan Digital Malaysia (My Digital Content). 

 

"Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan aktiviti dan nilai tambah rantaian nilai kandungan digital industri tempatan," katanya. - DagangNews.com