MDEC lancar MIX, perkasa transformasi digital | DagangNews Skip to main content

MDEC lancar MIX, perkasa transformasi digital

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri

 

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan MDEC Innovation Exchange (MIX), program yang dibangunkan untuk mempercepatkan pendigitalan ekonomi negara. 

 

MIX adalah sebahagian daripada usaha inovasi korporat MDEC yang bertujuan untuk memperkasakan syarikat korporat dengan transformasi digital yang ditambah nilai melalui inovasi tempatan, menyatukan syarikat korporat yang mantap dengan pemain teknologi tempatan bertaraf dunia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MIX akan menawarkan begitu banyak manfaat kepada syarikat-syarikat tempatan untuk beralih ke arah digital dan meningkatkan daya saing mereka seterusnya memajukan negara dengan menyediakan pelbagai peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan.

 

"Program MIX oleh MDEC bakal menjadi pengubah keadaan dalam menggalakkan kemajuan perindustrian di Malaysia di samping menyumbang kepada pertumbuhan syarikat-syarikat start-up yang berjaya di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MIX adalah terbuka kepada semua syarikat korporat yang ingin menceburi arena inovasi.

 

Mereka boleh memohon untuk menglibatkan syarikat masing-masing dalam pelbagai inisiatif inovasi di
bawah program tersebut.

 

Di bawah program tersebut, MDEC akan menghubungkan syarikat korporat dengan sebuah kumpulan yang terdiri daripada lebih 800 syarikat start-up dan scale-up yang boleh menyediakan penyelesaian atau bukti konsep. 

 

Ini akan dilakukan dengan menghasilkan senarai penyedia penyelesaian yang relevan berdasarkan pernyataan
masalah syarikat-syarikat korporat tersebut.

 

Selain itu, MDEC juga akan membantu syarikat-syarikat korporat yang mengambil bahagian dalam pengambilan bakat yang celik digital melalui inisiatif seperti MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) dan Premier Digital Tech Institutions (PDTI). 

 

Agensi tersebut juga akan membantu syarikat-syarikat korporat dalam usaha meningkatkan kemahiran kakitangan sedia ada. 

 

Menurut Surina, melalui kesemua program dan inisiatif inovasi korporat MDEC, agensi tersebut telah membentuk 85 penglibatan dengan 85 rakan korporat dalam 7 sektor ekonomi iaitu telekomunikasi, perkilangan dan kejuruteraan, pengangkutan, kewangan, perkhidmatan, hartanah dan pertanian serta barangan pengguna cepat laris (FMCG) untuk membantu mereka memulakan perjalanan transformasi digital masing-masing.

 

"Setakat ini, MDEC telah membantu organisasi-organisasi menyelesaikan 75 pernyataan masalah, selain menyediakan hampir 1,300 peluang kepada syarikat-syarikat teknologi berkaitan, menandatangani 5 memorandum persefahaman (MoU) serta memeterai 13 perjanjian perniagaan," tambah beliau. - DagangNews.com