MDEC lantik 4 ahli lembaga pengarah baharu | DagangNews Skip to main content

MDEC lantik 4 ahli lembaga pengarah baharu

(Dari kiri) Aireen Omar, Dr. Dhesi Baha, Farouk Peter Lee dan Jaleeludeen Abu Baker.

(Dari kiri) Aireen Omar, Dr. Dhesi Baha, Farouk Peter Lee dan Jaleeludeen Abu Baker.

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Empat tokoh perindustrian dipilih dan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah baharu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Empat ahli lembaga pengarah baharu yang dilantik ialah Presiden AirAsia Group (AirAsia Digital) Aireen Omar; Pengasas bersama Kecerdasan Buatan dalam Perubatan Epidemiologi, Dr. Dhesi Baha; Pengurus Besar Pasaran Asia untuk Operasi Kumpulan AXA, Farouk Peter Lee serta Pengarah Undang-undang dan Pentadbiran AHB International Bhd, Jaleeludeen Abu Baker.

MDEC berkata, pelantikan tersebut adalah bagi memacu ekonomi digital negara pada era Revolusi Industri keempat (IR4.0) sekali gus mencapai wawasan Malaysia 5.0.

"Ahli-ahli baharu ini akan melengkapkan tujuh ahli lembaga pengarah sedia ada.

"Mereka akan bekerja bersama Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan pasukan pengurusan yang berpengalaman dalam menerajui agensi bagi mencapai matlamat untuk mencipta semula pendekatannya terhadap pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir dalam pendigitalan, perniagaan yang dijana secara digital dan pelaburan digital," jelas MDEC dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Wira Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pelantikan tersebut juga akan mempelbagaikan komposisi ahli lembaga pengarah MDEC bagi memperkukuhkan wawasannya dalam memberikan manfaat teknologi digital dan penyelesaian kepada semula lapisan masyarakat di Malaysia.

"Pemimpin baharu ini mempunyai rekod prestasi yang diiktiraf di peringkat dunia akan memberikan kepakaran yang lebih mendalam, kepimpinan berprestasi tinggi dan tadbir urus yang lebih cekap kepada MDEC dan semua pihak berkepentingan.

"Mereka juga akan memperkasakan usaha kami dalam memanfaatkan peluang pada tahap berikutnya, yang menguntungkan perusahaan mikro kecil dan sederhana, pekerja gig, syarikat multinasional dan sektor awam," jelasnya lagi. 

MDEC ialah sebuah agensi milik kerajaan yang berperanan menarik pelabur ICT antarabangsa untuk menjalankan perniagaan di  Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia).

Agensi berkenaan juga turut menguruskan pelbagai tanggungjawab lain yang berkaitan dengan ICT dan digital negara. - DagangNews.com