MDEC, MDA jalin kerjasama menerusi program inovasi korporat | DagangNews Skip to main content

MDEC, MDA jalin kerjasama menerusi program inovasi korporat

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Okt - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), mengumumkan kerjasama dengan Persatuan Digital Malaysia (MDA)  bagi inisiatif yang memberi manfaat kepada ekonomi digital menerusi program inovasi korporat dan bimbingan.

 

Naib Presiden Kanan, Pelaburan & Jenama dan Ketua Pegawai Pemasaran, MDEC, Raymond Siva berkata, menerusi kerjasama itu, MDEC dan MDA akan menganjurkan siri perbincangan libat urus yang dikenali sebagai Digital Wednesday, pada setiap suku tahun. 

 

Ujarnya, sesi tersebut akan menampilkan tetamu terkemuka dan pakar industri serta barisan kepimpinan MDEC, yang akan berkongsi pandangan dan pembangunan bakat terkini, pelaburan dan pelan digital untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem ekonomi digital Malaysia.

 

“Kami amat teruja untuk mengumumkan kerjasama dengan MDA, kerana ketika ini kami sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambah baik dan memacu ekosistem ekonomi digital menerusi kempen utama kami iaitu #SayaDigital dan Nadi Digital ASEAN.

 


“Kami sangat optimistik bahawa kerjasama ini akan mencipta lebih banyak peluang bukan sahaja kepada ahli tetapi juga bukan ahli, seterusnya memajukan ekonomi digital secara inklusif selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut Raymond, kerjasama tersebut yang bermula bulan ini dengan penglibatan MDEC dalam platform pembelajaran industri khas MDA seperti MDA@School yang antaranya menyediakan program pensijilan bersama.

 

"Inisiatif ini ialah program julung kali yang dilaksanakan dan dianjurkan oleh kedua-dua buah organisasi ini untuk pihak industri," jelasnya.

 

Program berkenaan akan merangkumi Digital Wednesday, iaitu acara rangkaian industri suku tahunan MDA, perkongsian dan pembelajaran. 

 

Selain itu, buat pertama kali, MDEC akan terlibat dalam Anugerah MDA 2021, acara tahunan yang mengiktiraf dan menghargai bakat, agensi, jenama, penerbit dan penyedia perkhidmatan digital yang mengadaptasi dan menggunakan teknologi digital. 

 

"Ia selari dengan kepada empat teras digita utama MDEC iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Digital ScaleUps) dan Pelaburan (Investments)," katanya. -DagangNews.com