MDEC tambah baik Direktori Latihan Kemahiran Digital  | DagangNews Skip to main content

MDEC tambah baik Direktori Latihan Kemahiran Digital 

Naib Presiden dan Ketua Kemahiran Digital dan Pekerjaan MDEC, Dr. Sumitra Nair

 


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menambah baik Direktori Latihan Kemahiran Digital kepada 250 kursus bagi memenuhi permintaan ekonomi digital yang semakin berkembang.

 

Ini termasuklah 56 kursus bagi sains data diikuti keselamatan siber (44 kursus), animasi (19 kursus), pembangunan permainan (5 kursus) dan pembangunan perisian (56 kursus). 

 

Perniagaan Digital Global adalah bidang fokus terbaharu dengan 77 kursus telah ditawarkan. 

 

Naib Presiden dan Ketua Kemahiran Digital dan Pekerjaan MDEC, Dr. Sumitra Nair berkata, walaupuan terdapat peningkatan yang ketara dalam tawaran latihan semula dan peningkatan kemahiran yang boleh disertai syarikat, namun cabaran utama mereka adalah untuk memilih kursus dan penyedia latihan dalam talian yang terbaik. 

 

"Oleh itu, Direktori Latihan Kemahiran Digital yang dilancarkan oleh MDEC, membolehkan syarikat memperoleh kursus latihan dengan mudah dan memenuhi keperluan latihan semula dan peningkatan kemahiran yang mereka inginkan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MDEC melancarkan direktori ini pada 24 Ogos 2020 dengan berfungsi sebagai panduan sehenti untuk latihan semula dan peningkatan kemahiran.

 

Bagi edisi 2021, direktori ini dikategorikan kepada 3 jenis kursus iaitu Kerja dan Belajar, Meningkatkan Kerjaya dan Latihan atas Permintaan. 

 

Kemas kini berkenaan merupakan tambahan terbaharu kepada Direktori Latihan Kemahiran Digital dengan menawarkan 9 platform kursus dalam talian mega terbuka (MOOC). 

 

Platform berkenaan adalah Pusat Kewangan, Teknologi dan Keusahawanan (CFTE), OpenLearning Global (M) Sdn. Bhd, LinkedIn Learning, EC-Council CodeRed, Leaderonomics Digital Sdn Bhd, 360DigiTMG (AiSPRY), Akademi GA Sdn Bhd, SAS Institute Sdn Bhd dan LTT Global Communications Sdn Bhd.

 

Direktori ini telah diktiraf oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan akan menyediakan
pembiayaan sehingga RM4,000 seorang untuk kursus terpilih di bawah Skim Insurans Pekerja (EIS)
kepada ahli yang menerima manfaat pemberhentian pekerja. 

 

Kursus-kursus yang ditawarkan oleh Penyedia Latihan yang diluluskan oleh HRDC turut disenaraikan bagi membantu majikan untuk mengenal pasti kursus yang boleh dibiayai menerusi caruman HRDC.

 

Selain itu, beberapa kursus terpilih yang menawarkan pensijilan turut layak untuk menerima pembiayaan sehingga RM7,000 di bawah Insentif Pengambilan Pekerja Penjana 2.0 (Maksimum RM4,000 bagi kategori perintis).

 

Latihan yang tersenarai dalam Direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC juga boleh dibiayai di bawah
inisiatif MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT), iaitu program latihan dan pengambilan pekerja yang
fokus kepada pembangunan bakat teknologi berkualiti serta melonjakkan sektor perkhidmatan
perniagaan digital. - DagangNews.com