MDEC terus fokus tarik pelaburan digital | DagangNews Skip to main content

MDEC terus fokus tarik pelaburan digital


 


Oleh DATUK RAIS HUSSAIN MOHAMED ARIFF

 

Datuk Rais Hussains Mohamed Ariff

 

Di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda dunia tahun lalu, negara-negara jiran berjaya menarik pelaburan asing membabitkan modal untuk syarikat pemula terknologi. 

 

Paling menonjol ialah Singapura yang mencatatkan peningkatan 25 kali ganda. Indonesia pula meningkat 22 kali ganda. 

 

Pada masa sama, Vietnam, Filipina dan Myanmar turut mengatasi pencapaian Malaysia. Prestasi negara kita dalam kalangan negara-negara ASEAN didapati hanya lebih baik berbanding Kemboja.

 

Sehubungan itu, agensi-agensi tempatan yang ditugaskan untuk memacu ekonomi termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) perlu meningkatkan usaha dan menarik pelaburan dalam bidang ini dengan pantas. 

 

Bagaimanapun, perlu diakui untuk ‘mengubah situasi’ ini dalam tempoh yang singkat bukanlah tugas mudah sebaliknya memerlukan perubahan keseluruhan termasuklah pemikiran rakyat. 
 

Era digital yang dibawa oleh Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) semakin ketara serta turut menyuntik perubahan masyarakat yang lebih bersepadu membabitkan teknologi. 
 

Misi ‘Malaysia 5.0’ adalah untuk memastikan perubahan ini bersifat inklusif dan adil serta tidak menambah jurang perbezaan antara rakyat dalam sosio ekonomi. 

 

Menerusi langkah-langkah yang diambil untuk mencapai visi ini, Malaysia 5.0 menumpukan usaha ke arah wawasan penyatuan masyarakat yang menjangkau kepercayaan dan identiti perkauman ke arah nilai-nilai murni yang mempromosikan kesejahteraan bersama.
 

Teknologi hebat IR4.0 seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan internet segala-galanya (IoT) akan membawa transformasi digital terhadap masyarakat yang mempunyai peluang untuk menghasilkan ‘data berpusat’ dan pengagihan sumber maklumat kepada pemilik atau pencipta data tersebut. 

 

Ini menyebabkan berlaku perkongsian data, maklumat dan ilmu pengetahuan yang mampu dimanfaatkan oleh rakyat.
 

Oleh itu, menjadi tugas penting bagi MDEC untuk melengkapkan rakyat dengan ‘peralatan’  dan kemahiran supaya tidak hanya menjadi pengguna kepada teknologi IR4.0, sebaliknya turut berkembang maju sebagai penambah nilai dan penghasil teknologi. 

 

Malah, ini dijangka dapat menyumbang kepada kemajuan peribadi dan pertumbuhan ekonomi yang dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana golongan.
 

Menjelang sambutan ulang tahun Jubli Perak ke-25 tahun ini, MDEC telah mengumumkan misi ‘Mencipta Semula’ (reinvent) yang memberi isyarat anjakan paradigma baharu supaya bersiap sedia menghadapi norma baharu yang belum diterokai dan mungkin akan kekal lebih lama, berbeza seperti apa yang dijangkakan.  

 

Misi ‘Reinvent’ MDEC membawa pendekatan dan perspektif baharu yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi digital sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.
 

Ciri utama misi ini adalah:
 

  •  Ketelusan menyeluruh dan tadbir urus yang baik

 

  •  Pendidikan bermula peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi 

 

  •  Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta

 


Berpandukan ciri-ciri berkenaan, hasil tinjauan dan kajian bebas secara menyeluruh ke atas status tadbir urus sedia ada (bagi menilai semula kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan misi 'Reinvent') juga telah menyaksikan kemasukan modal insan baharu di pelbagai peringkat. 

 

Keadaan ini sekali gus membolehkan MDEC fokus pada industri dan teknokrat. Ini merupakan tambahan modal insan kepada bakat luar biasa yang sedang berkhidmat di MDEC. 
 

 

Ciri  kedua pula melibatkan pendidikan yang komprehensif, menyeluruh dan holistik untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap teknologi IR4.0 dan meningkatkan ketersediaan teknologi ini untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro yang berisiko untuk tertinggal dalam arus teknologi IR4.0 yang digunakan secara meluas.
 

 

Ciri ketiga berkaitan usaha untuk penglibatan secara meluas bagi memupuk minat dan integrasi teknologi maju membabitkan semua ekonomi. 

 

 

Usaha ini penting untuk mendorong pertumbuhan menyeluruh dan seterusnya perkembangan segmen yang kurang diberi tumpuan terutama di luar bandar.
 

 

IR4.0 berkemampuan untuk membawa perubahan seperti yang diingini bersama naratif baharu yang membawa masyarakat menjangkau era informasi dan transformasi digital berpaksikan rakyat seperti era Malaysia 5.0 di mana desentralisasi data dapat dicapai dan maklumat dikendalikan oleh pemiliknya untuk manfaat masing-masing.
 

 

Oleh itu, jelas bahawa untuk mencapai misi ini merupakan tugas besar dan mungkin tidak mampu dilaksanakan oleh mana–mana institusi sekiranya bergerak sendiri.

 

Wawasan ini mestilah menjadi matlamat bersama membabitkan kementerian dengan agensi-agensi kerajaan.
 

 

Saya melihat peranan MDEC untuk memimpin penglibatan semua lapisan masyarakat supaya mengambil bahagian dan menyumbang ke arah pemikiran baharu yang diperlukan untuk mendokong aspirasi dan visi Malaysia 5.0  iaitu sebuah masyarakat yang sangat bersepadu secara teknologi, ditadbir oleh prinsip dan amalan ‘eco-vironmental’ yang inklusif, adil dan saksama.
 

 

Berhubung peranan sebagai Pengerusi MDEC, saya telah memacu naratif Malaysia 5.0 ini yang memupuk budaya penglibatan menyeluruh di mana faedah sosial adalah hak milik rakyat dan menjadi manfaat bersama.
 

 

Ia mempunyai 3 komponen utama iaitu pertama, menanam falsafah identiti teras baharu yang melangkaui perbezaan masyarakat dan individu serta mengangkat tinggi nilai kemakmuran bersama. 

 

Komponen kedua pula ialah menerima pakai, menambah nilai dan menghasilkan transformasi digital dan teknologi IR4.0  yang berpusat di sekitar penyelesaian masalah ‘eco-vironmental’. 

 

Ketiga, ia juga berhasrat untuk melahirkan masyarakat yang serba boleh iaitu berkedudukan baik dan berdaya maju untuk menghadapi, menavigasi dan memajukan IR4.0. 
 

 

Matlamat Malaysia 5.0 menggalakkan pertumbuhan dan kemajuan untuk semua, integrasi teknologi IR4.0 secara mendalam di setiap lapisan masyarakat, perubahan dan reformasi sistem pendidikan kebangsaan untuk mencerminkan realiti dunia sebenar bermula pada peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi.
 

 

IR4.0 dan transformasi digital adalah perubahan global yang tidak dapat dielakkan dan Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera berlandaskan wawasan Malaysia 5.0, supaya tidak ketinggalan zaman.
 

 

Bak kata pepatah Inggeris, “time and tide waits for no man”. 
 

 

PENULIS IALAH PENGERUSI MDEC

 

randau industri