MEASAT meterai kontrak perkhidmatan jalur lebar bersama Reach Ten | DagangNews Skip to main content

MEASAT meterai kontrak perkhidmatan jalur lebar bersama Reach Ten

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pengendali satelit premier Malaysia, MEASAT Global Berhad telah menandatangani kontrak dengan Reach Ten Communication Sdn. Bhd. untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Terurus, disokong oleh muatan satelit berdaya tinggi (HTS) pada MEASAT-3d (M3d).

 

Menerusi kontrak itu, Reach Ten akan menjadi penyedia perkhidmatan satelit perusahaan terbesar di Malaysia dari segi kapasiti yang diperuntukkan selain memberi perkhidmatan kepada sektor swasta dan kerajaan di seluruh Malaysia.

 

Sehingga kini, Reach Ten telah mengembangkan pangkalan pelanggan mereka disokong oleh infrastruktur pintu masuk satelit paling maju di negara ini yang terletak di Kuching dan Cyberjaya yang menyediakan perkhidmatan satelit jalur lebar kepada lebih 1,000 komuniti dan kampung di seluruh negara.

 

Di Samajaya, Kuching, antena sepanjang sembilan meter (9m) di teleport membolehkan akses kepada kira-kira 13Gbps kapasiti satelit pada M3d.

 

Ketua Pegawai Komersial MEASAT, Ganendra Selvaraj berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengukuhkan dan mengembangkan perkongsiannya bersama Reach Ten berikutan kejayaan pelancaran M3d, satelit tercanggih yang membawa kapasiti jalur lebar terbesar untuk Malaysia.

 

"Kontrak ini adalah bukti kepada misi MEASAT untuk menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi yang menjimatkan kos di negara ini tanpa sebarang rangkaian daratan, dengan kelajuan sehingga 100Mbps.

 

"Ia akan membantu memenuhi aspirasi negara untuk liputan internet 100% di seluruh Malaysia menjelang 2025 dan merapatkan jurang digital antara rakyat Malaysia di kawasan luar bandar dan bandar melalui inisiatif seperti pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan inisiatif SMART Kerajaan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Reach Ten, Leo Chin berkata, selepas bekerjasama dengan MEASAT, pihak kami berbesar hati untuk menjadi antara pelanggan utama kepada syarikat itu untuk satelit M3d.

 

"Menerusi kerjasama terbaharu dengan MEASAT ini, kami mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk menyokong projek yang sedang berjalan serta aplikasi lebar jalur tinggi baharu seperti projek jalur lebar komuniti, Internet Kebendaan (IoT), teleperubatan dan aplikasi pembelajaran dalam talian, khususnya di Sarawak,” katanya. - DagangNews.com