MED4IRN setuju bangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

MED4IRN setuju bangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia - Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), hari ini.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) sebulat suara bersetuju untuk membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan MDTAP30 itu adalah satu daripada lima ketetapan yang dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan dan pelan tindakan berkenaan akan dibangunkan bagi menyokong ekosistem dron dan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional.

 

Katanya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan bertindak sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 selain akan melaporkan kemajuan kepada ahli majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

 

"Industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

 

“Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan proses pendaftaran operator dron untuk meningkatkan pendaftaran UAS menjelang tahun 2030.

 

“Mesyuarat juga mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan pemain industri seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

Perdana Menteri berkata, mesyuarat MED4IRN juga memutuskan untuk melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act-Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

 

Beliau berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga akan terus diperkasa melalui pendigitalan dan satu rangka kerja berintegrasi.

 

Katanya, satu mekanisme penyelesaian pertikaian dalam talian (ODR) diwujudkan bagi mengadili dan menyelesaikan tuntutan kecil serta meningkatkan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

 

“Penubuhan pusat sehenti juga akan mempermudah akses program sokongan pendigitalan kepada PKS.

 

“Selain itu, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan ini mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang yang mencukupi," katanya. - DagangNews.com