MEDAC bakal perincikan mekanisme pembiayaan mikrokredit | DagangNews Skip to main content

MEDAC bakal perincikan mekanisme pembiayaan mikrokredit

KUALA LUMPUR 29 Jun - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan memperincikan mekanisme pelaksanaan pembiayaan mikrokredit.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia dijangka akan memberi fokus khas kepada usahawan mikro dalam bidang bukan perlu seperti 'spa & wellness', refleksiologi, gunting rambut, selepas bersalin, pengurusan acara, katering serta kedai buku dan alat tulis yang benar-benar terkesan dengan impak COVID-19 dan penguatkuasaan sekatan pergerakan.

 

"Usahawan dalam bidang bukan perlu ini menghadapi cabaran yang getir kerana perniagaan mereka ini adalah yang terawal ditutup dan yang terakhir dibenarkan beroperasi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mulai tahun lalu sehinggalah penguatkuasaan sekatan pergerakan pada masa ini," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung, semalam.

 

Wan Junaidi berkata, MEDAC berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan sejumlah RM100 juta kepada TEKUN bagi membantu perusahaan mikro dalam memulihkan perniagaan mereka selain turut menghargai keprihatinan kerajaan dalam menyediakan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi membantu memulihkan sektor koperasi.

 

wan junaidi tuanku jaafar
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

"Selain itu, inisiatif bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, lanjutan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0, kemudahan moratorium dan lanjutan diskaun bil elektrik juga akan dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh usahawan," katanya.

 

MEDAC komited dan bersedia dalam memastikan pelaksanaan inisiatif yang diumumkan sampai kepada semua golongan usahawan yang terkesan. - DagangNews.com