Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat lawatan selepas perasmian Expo Business In-Transformation (BITe) 2021 di Putrajaya.
KUALA LUMPUR 5 April - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) optimis program Business In-Transformation (BIT) mampu mencapai sasaran melahirkan 100 jutawan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana setiap tahun.
BIT adalah program mentransformasikan perniagaan kecil yang diperkenalkan sejak 2013 dan menyaksikan seramai 130 peniaga menyertai program tersebut.
Daripada jumlah berkenaan, terdapat 5 jenama berjaya menerima lesen francais daripada pendaftar francais iaitu MD Putu Bambu World, L Pizz, D’Apple, Otak-Otak JB dan House Of Mind Excellence (HOME).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian akan terus membantu para peniaga kecil untuk mentrasformasikan perniagaan mereka supaya mampu bersaing dengan jenama besar yang lain seterusnya berkembang ke peringkat global.
Beliau percaya perniagaan francais merupakan platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan meneruskan mandat yang diberikan untuk membantu usahawan bumiputera dalam perniagaan francais.
“Masyarakat mempunyai persepsi perniagaan francais memerlukan modal yang besar. Kini, masyarakat berpeluang menceburi perniagaan francais kerana terdapat pakej-pakej francais mampu milik.
"Contohnya seperti MD Putu Bambu World yang menawarkan pakej bermula RM7,000.00 sehingga RM70,000.00," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Expo Business In-Transformation (BITe) 2021 di Putrajaya.
Yang turut hadir, Pengerusi PNS, Datuk Zakaria Mohd. Edris; Ketua Setiausaha Medac, Datuk Suriani Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Strategi Keusahawanan) Medac, Datuk Mohammad Radhi Abd. Razak; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Medac, Datuk Zamri Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor.
Program BITe merupakan inisiatif Medac dan agensi di bawahnya, PNS bagi membantu usahawan BIT mempromosikan pakej dan model perniagaan mereka serta membuka peluang kepada para peserta untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya perniagaan francais mikro.
Penganjuran BITe 2021 mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosi program BIT kepada golongan sasar seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan baru khususnya bumiputera dalam bidang francais dan pra-francais.
Antara produk tempatan yang telah berjaya memperkukuhkan jenamanya melalui program BIT ini ialah MD Putu Bambu World.
Jenama ini yang memulakan perniagaannya di pasar malam dengan permulaan modal sebanyak RM1,000, kini telah menjadi salah satu jenama francais tempatan yang terkenal dan memiliki 70 cawangan di seluruh negara.
Wan Junaidi berkata, orang ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan perlu datang ke Medac untuk mendapatkan pelbagai bantuan pembiayaan dan khidmat konsultansi yang disediakan.
Melalui agensi-agensi di bawahnya seperti PNS, Tekun Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, Institut Koperasi Malaysia dan Institut Keusahawanan Nasional (Insken) menyediakan peluang yang diperlukan di dalam
setiap industri.
"Saya yakin ekosistem yang lengkap dan menyeluruh ini dapat membantu usahawan untuk terus membangunkan perniagaan mereka selari dengan hasrat kerajaan ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya. - DagangNews.com