Media Prima dijangka lebih mengukuh menjelang 2H20 | DagangNews Skip to main content

Media Prima dijangka lebih mengukuh menjelang 2H20

Media Prima Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Prestasi kewangan syarikat Media Prima Bhd. dijangka lebih mengukuh dan lebih baik menjelang separuh kedua 2020.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada prestasi pengiklanan yang kembali baik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan bermula 4 Mei lalu.

"Media Prima mengalami kerugian bersih berjumlah RM38.3 juta pada separuh pertama 2020 yang tidak termasuk kos penamatan sebanyak RM11.3 juta.

"Kerugian tersebut merangkumi 28% daripada ramalan kami dan kami jangkakan syarikat tersebut akan lebih baik menjelang separuh kedua 2020 susulan peningkatan semula dalam pengiklanan syarikat tersebut," jelas CGS-CIMB Research.

Bagaimanapun, Media Prima melalui CJ Wow Shop berjaya meraih keuntungan susulan peningkatan pembelian secara dalam talian sepanjang penularan wabak COVID-19.

Keuntungan yang dicatat CJ Wow Shop meningkat kepada RM6.3 juta berbanding jumlah kerugian bersih RM7.6 juta pada separuh pertama 2019.

CGS-CIMB Research turut menjangkakan CJ Wow Shop akan terus memperoleh keuntungan dalam aliran pendapatan syarikat.

Dalam pada itu, kehadiran pemegang saham terbesar Media Prima, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dilihat mampu membawa perubahan kepada syarikat berkenaan.

Jelas CGS-CIMB Research, keadaan itu juga mampu mengubah aliran pendapatan ke arah yang lebih positif.

"Berikutan ramalan kami pada tahun kewangan 2020 hingga 2022 dinaikkan, kami meningkatkan harga sasaran saham (TP) daripada 19 sen hingga 24 sen.

"Kami mungkin akan memberi penilaian yang lebih tinggi kepada saham sekiranya Media Prima berjaya mencatatkan hasil yang lebih baik pada suku berikutnya," kata CGS-CIMB Research. - DagangNews.com