Mekanik dipelawa sertai Program Pomen Rider | DagangNews Skip to main content

Mekanik dipelawa sertai Program Pomen Rider

SEORANG mekanik yang berkhidmat sebagai Pomen Rider di mana pelanggan menghubungi mereka menerusi aplikasi internet bila memerlukan khidmat mekanik bukan di bengkel.

 

KUALA LUMPUR 30 April - Pomen Autodata Sdn. Bhd. mempelawa mekanik yang berminat supaya menyertai Program Pomen Rider bagi memberi perkhidmatan bergerak kepada oran ramai.

 

Buat masa ini, program itu sudah memiliki 48 mekanik yang telah mendaftar bagi meliputi pelbagai kawasan di sekitar Lembah Klang, Seremban dan Ipoh.

 

Sebagai nilai tambahan program, Pomen juga bekerjasama dengan Petronas yang memungkinkan Pomen Riders mendapatkan stok pelincir (minyak enjin PETRONAS Syntium) di mana-mana stesen Petronas di seluruh negara tanpa perlu membawa wang tunai.

 

Sebaliknya, mereka hanya sentuhkan kad Petronas SMARTPay yang akan diberikan kepada mekanikyang disahkan penyertaan mereka. Kerjasama Pomen dan Petronas membolehkan pengguna menikmati kemudahan servis kereta mereka di depan pintu dengan kadar upah yang berpatutan dan mendapat kepastian produk pelincir asli yang terbaik.

 

"Kami melihat terdapat peningkatan dalam bilangan pekerjaan yang berubah kepada ekonomi gig dan ini menunjukkan ada permintaan tinggi untuk golongan mekanik sebagai sumber tenaga mahir, dan pemilik kenderaan pasti ingin memesan mekanik peribadi mereka secara dalam talian melalui aplikasi yang boleh dipercayai.

 

"Program ini memberi manfaat kepada kedua-dua para mekanik dan juga pengguna.  Masanya telah tiba untuk mekanik menyertai era ekonomi gig. Dengan pengalaman kami mengurus aplikasi Pomen, kami berharap dapat menyemarakkan pasaran yang lebih telus dan seterusnya mewujudkan keyakinan pengguna dan membuka lebih banyak peluang untuk mekanik gig,” kata Syed Zulhilmi Tuan Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Pomen.

 

Pomen
Syed Zulhilmi Tuan Sharif

 

Pomen adalah platform penyelenggaraan automotif Malaysia yang menghubungkan pemandu dengan bengkel yang berdekatan, semuanya hanya dengan satu klik butang dalam satu aplikasi. Perkembangan terbaru ini dijangka dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 5,000 mekanik yang mendaftar sebagai Pomen Rider, 5 tahun dari sekarang.

 

Sebahagian dari program onboarding adalah melalui kolaborasi dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi program Mobilepreneurs yang dilancarkan pada tahun 2016.

 

Para Mobilepreneurs dilengkapi dengan motosikal dan peralatan yang diletakkan di belakang. Sebilangan besar pelopor Mobilepreneurs adalah lulusan automotif dari program agensi-agensi KPLB seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pusat Latihan Felcra.

 

Pomen adalah salah satu daripada peserta program Top 11 Cohort 2 ScaleUp Malaysia yang telah menerima pelaburan sebanyak RM250,000. Sebelum itu, Pomen cemerlang di dalam Program ‘Accelerator’ SITEC Selangor Cohort 2.0 dan muncul sebagai pemenang untuk program ini.

 

Pomen adalah penerima dana CIP Ignite (II) dari Cradle sebanyak RM500,000 dan pemenang bersama Program Petronas FutureTech Accelerator yang terpilih dalam program Silicon Valley Immersion.

 

Aplikasi Pomen boleh dimuat turun secara percuma di platform Google Play Store atau Apple App Store atau boleh diakses terus di https://download.pomenapp.com. Untuk menjadi sebahagian daripada program POMEN Rider, kunjungi: www.pomenapp.com    - DagangNews.com