TINDAKAN Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang mengambil langkah agresif untuk membendung inflasi dengan menaikkan kadar faedah telah menjerumuskan Wall Street ke dalam pasaran menurun.
Atau situasi yang mana indeks seperti Standard and Poor’s (S&P) 500, Indeks Perindustrian Dow Jones (Dow Jones Industrial Average, DJIA), Indeks Komposit Nasdaq (Nasdaq Composite) atau bahkan saham individu telah jatuh 20% atau lebih daripada paras tertinggi baru-baru ini.
Pada minggu berakhir 17 Jun, S&P 500 menjunam 5.8%, kerugian mingguan paling tinggi sejak Mac 2020, sekaligus menjerumuskannya jauh ke dalam pasaran menurun.
Sementara itu, saham cip biru DJIA merosot 4.8% untuk jatuh di bawah 30,000 buat kali pertama sejak Januari 2021. Dalam tempoh sama, Nasdaq yang menghimpunkan sebahagian besar saham syarikat berkaitan teknologi dan internet, menyusut 4.8%, turun 33% daripada rekod tertingginya.
Penurunan pasaran di Wall Street adalah selaras dengan langkah agresif oleh Fed AS untuk menaikkan kadar faedahnya sebanyak 0.75% dalam kenaikan paling agresif sejak 1994.
Ini berlaku selepas indeks harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat meningkat 8.6% pada bulan Mei berbanding setahun yang lalu, peningkatan tertinggi sejak Disember 1981. Inflasi teras tidak termasuk makanan dan tenaga meningkat 6%. Kedua-duanya lebih tinggi daripada yang dijangka.
Setelah kadar dana penanda arasnya mencecah julat 1.5% hingga 1.75% iaitu kadar tertinggi sejak sebelum pandemik COVID-19 bermula pada Mac 2020, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) kini dijangka meningkatkan lagi kadar sedia ada kepada 3.40% menjelang akhir 2022. Kadar ini lebih tinggi daripada jangkaan awal iaitu 1.90% yang diramalkan pada Mac 2022.
Kesan besar
Pendirian Fed AS yang berterusan menaikkan kadar faedah berbanding menormalisasikannya akan mewujudkan tekanan yang besar kepada bank-bank pusat Asia untuk mempercepatkan kenaikan kadar masing-masing, terutama dalam konteks aliran keluar portfolio pelaburan baru-baru ini yang berlaku di seluruh rantau ini.
Pengerusi Fed AS, Jerome Powell juga telah membayangkan kenaikan kadar 50 hingga 75 mata asas (basis points, bps) dalam mesyuarat FOMC seterusnya pada 26 hingga 27 Julai.
Dalam pasaran domestik, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25bps dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 6 Julai selepas kenaikan 25bps pada mesyuarat yang diadakan pada 10 dan 11 Mei sebelum ini.
Pakar ekonomi menjangkakan tindak balas agresif dalam kalangan bank pusat ASEAN selepas Fed AS mengumumkan kenaikan kadar faedah tersebut.
Kini mereka mengunjurkan lagi kenaikan sebanyak 25bps menjelang akhir 2022 untuk meningkatkan OPR kepada 2.5% berbanding pandangan sebelum ini yang mengunjurkan kenaikan 25bps pada setengah tahun kedua 2022 kepada 2.25%.
Kesan inflasi terhadap pelabur
Rangkaian peristiwa di atas menyebabkan Bursa Malaysia diselubungi ketidaktentuan apabila pelabur terpaksa mempertimbangkan semula risiko yang melibatkan
(i) inflasi yang semakin meningkat,
(ii) potensi aliran keluar modal berikutan langkah agresif oleh Fed AS,
(iii) perang Rusia-Ukraine yang berlarutan,
(iv) konflik AS – China yang memuncak dan
(v) ketidakstabilan politik yang berlatarkan spekulasi Pilihan Raya Umum ke-15 pada separuh tahun kedua 2022.
Secara ringkasnya, inflasi mengurangkan kuasa beli pengguna dan pada masa yang sama, menaikkan harga input yang menyebabkan pengeluar terpaksa menyalurkan peningkatan kos pengeluaran yang tinggi kepada pengguna.
Pengguna bakal menyaksikan kuasa beli dihakis melainkan jika terdapat peningkatan yang seiring dalam pendapatan mereka serta langkah yang sewajarnya dilaksanakan untuk membendung inflasi dan mengekalkan pekerjaan.
Apabila kuasa beli pengguna menurun, mereka hanya mampu membeli barangan yang sedikit menggunakan jumlah wang yang sama.
Perkembangan sebegini biasanya negatif untuk stok yang dipacu pengguna seperti barangan pengguna yang bergerak pantas (FMGC) atau barang pengguna tahan lama kerana keupayaan pengguna untuk berbelanja semakin berkurangan.
Syarikat-syarikat ini mungkin terpaksa menyerap kos pengeluaran yang meningkat atau mengurangkan keuntungan syarikat jika mereka tidak dapat menyalurkan peningkatan kos kepada pengguna.
Maka apabila inflasi meningkat dan kadar faedah juga meningkat, kos modal juga akan turut meningkat.
Kos modal ialah gabungan kos ekuiti dan kos hutang. Apabila kadar hasil bon meningkat, kos modal turut meningkat. Justeru aliran tunai masa depan syarikat akan dinilai lebih rendah. Memandangkan salah satu kaedah penilaian ekuiti adalah dengan cara mendiskaunkan aliran tunai masa hadapan, maka apabila kadar pendiskaunan meningkat sudah pasti penilaian ekuiti akan menurun.
Saham pertumbuhan atau saham nilai
Walaupun tiada lindung nilai yang sempurna terhadap inflasi, data sejarah menunjukkan bahawa secara purata, strategi pelaburan nilai menunjukkan prestasi yang sangat baik semasa tempoh inflasi tetapi secara amnya, prestasi tidak begitu bagus sewaktu tempoh inflasi rendah.
Seperti namanya, pelaburan pertumbuhan menilai sesebuah syarikat dengan pendapatan mereka pada masa depan berbanding pendapatan semasa atau masa lalu.
Inflasi pula ialah proses yang mana wang pada masa hadapan menjadi kurang bernilai pada masa kini.
Oleh itu, dalam tempoh inflasi yang tinggi, pendapatan masa depan menjadi kurang bernilai dan pendapatan semasa menjadi lebih bernilai. Memandangkan “saham nilai” dinilai berdasarkan pendapatan semasa saham tersebut, dikatakan bahawa tempoh inflasi adalah lebih baik untuk saham nilai (misalnya, bank) berbanding saham pertumbuhan (misalnya, syarikat teknologi) dan sebaliknya.
Dalam iklim ekonomi yang tenang, pelabur menjangkakan saham pertumbuhan memperoleh keuntungan modal yang besar disebabkan pertumbuhan yang kukuh dalam syarikat berkenaan. Jangkaan ini boleh menyebabkan saham ini kelihatan dinilai tinggi kerana nisbah harga kepada pendapatan (price to earnings, PE) yang tinggi.
Sebaliknya, saham nilai selalunya dinilai kurang atau diabaikan oleh pasaran, tetapi lama kelamaan ia dapat meraih nilai. Syarikat-syarikat ini juga biasanya membayar dividen maka pelabur boleh cuba mendapatkan keuntungan daripadanya. Saham nilai cenderung didagangkan pada nisbah PE yang rendah.
Saham terbaik sewaktu tempoh inflasi
Dalam konteks yang lebih luas, saham dijangka terjejas apabila inflasi meningkat, tetapi inflasi juga boleh bermakna ekonomi sedang berkembang.
Memandangkan inflasi meningkatkan kos barangan, perniagaan yang kurang bergantung pada bahan mentah dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding perniagaan yang mempunyai produk berintensif kos.
Saham cip biru juga mungkin menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding saham pertumbuhan sewaktu tempoh inflasi kerana ia biasanya mempunyai hutang yang rendah. Ini adalah kerana, sebarang kenaikan kadar faedah akan meningkatkan kos pembiayaan bagi syarikat yang bergantung pada hutang untuk mendorong pertumbuhan.
Persamaan ini bagi bank-bank pula adalah sebaliknya. Keuntungan bank ke atas pinjaman meningkat apabila kadar faedah meningkat. Walau bagaimanapun, kadar faedah yang tinggi juga mungkin membantutkan permintaan kredit daripada pengguna.
Walaupun secara teori, inflasi mungkin membawa kesan negatif ke atas bon dan ekuiti, tahap kenaikan inflasi tertentu adalah sejajar dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Malah dalam ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan Jepun, usaha sedang dijalankan untuk memulihkan semula inflasi ke paras 2% iaitu tahap yang sepatutnya dapat merangsang pertumbuhan.
Mengimbas kembali pertumbuhan dunia sejak 20 tahun yang lalu, kita akan mendapati bahawa KDNK tidak pernah berkembang dengan ketara apabila inflasi berada pada tahap yang sangat rendah.
Walaupun inflasi yang terlampau tinggi boleh menjadi malapetaka kepada ekonomi, ambang inflasi tertentu diperlukan untuk memberi insentif kepada pengeluar dan perniagaan. Oleh yang demikian, kenaikan inflasi mempunyai risiko penurunan tertentu namun ia juga penting untuk pertumbuhan.
Garis keseimbangan yang halus ini perlu dicapai bagi memastikan ekonomi makro berada pada kedudukan yang betul. - DagangNews.com