Memantapkan peranan, manfaat kerjasama universiti awam dan pemain industri | DagangNews Skip to main content

Memantapkan peranan, manfaat kerjasama universiti awam dan pemain industri

Oleh Syazuan Abd. Latip dan Khairul Imran Sainan 

PEMETERAIAN perjanjian persefahaman melalui Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian (MoA) secara asasnya merupakan anjakan paradigma yang  bakal mendatangkan kebaikan dan hasil yang positf terhadap kedua-dua belah pihak.

 

Mereka terlibat dalam jaringan dan jalinan kerjasama yang diwujudkan baik dari jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

 

Antara perjanjian persefahaman yang boleh dijalankan adalah: pengembangan kokurikulum yang berteraskan industri, kerjasama penyelidikan dan inovasi, peluang pendidikan dan latihan, perkongsian maklumat dan teknologi serta  penyediaan tenaga kerja yang berkualiti oleh pihak universiti.

 

Secara kolektifnya, persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak terlibat akan mensasarkan kepada objektif dan matlamat tertentu yang dizahirkn berdasarkan kepada perancangan dan pelaksanaan dalam tempoh waktu yang telah dipersetujui bersama.

 

Melihat dari sudut pandang pemeteraian perjanjian kesefahaman melalui jalinan kerjasama di antara universiti awam (UA) dan para pemain industri.

 

Secara spesifiknya, ia adalah merupakan ‘langkah pertama’ bagi mencipta ruang bagi mewujudkan peluang penyelidikan yang bercirikan komprehensif.

 

Ia bertujuan untuk menghasilkan bukan sahaja produk yang mempunyai potensi sebagai nilai komersil tinggi di peringkat pasaran global.

 

Malahan ia turut didokong serta dibuktikan melalui penghasilan penulisan ilmiah yang berimpak tinggi yang dapat diterjemahkan sebagai manfaat dua hala merangkumi lonjakan nilai tambah terhadap pihak universiti dan juga pemain industri terlibat.

 

 

parafrasa

 

 

Selain itu, melalui pendekatan pemeteraian perjanjian kesefahaman, pihak universiti dapat menyediakan kepakaran akademik, hubungan kepada pakar intelektual dan infrastruktur teras penyelidikan, sementara industri berupaya menyediakan ruang dan peluang yang luas dari aspek latihan praktikal, pengalaman lapangan, serta peluang perniagaan kepada pasaran global.

 

Merujuk dari perspektif UiTM sebagai salah sebuah UA yang tersohor di rantau ini, hakikat akan kepentingan mewujudkan jaringan dan jalinan kerjasama di antara UiTM dan para pemain  industri adalah sangat dititkberatkan sama ada melibatkan pemain industri tempatan mahupun  antarabangsa.

 

Matlamat dan aspirasi ini telah dinyatakan dengan jelas melalui perancangan strategik UiTM Globally Renowned University (GRU2025) yang antaranya turut  menekankan kepentingan dan keberhasilan dari aspek jaringan kerjasama melibatkan industri, komuniti dan juga alumni secara menyeluruh.

 

Oleh yang demikian, dapat dilihat dengan jelas hasrat serta perancangan UiTM untuk terus memacu potensi serta prestasi ke tahap yang lebih eksklusif sekaligus mencerminkan keunggulan dan kemampanan UiTM untuk kekal relevan di mata dunia melalui setiap perincian perancangan usahasama yang telah mahu pun bakal dilaksanakan baik di peringkat nasional mahupun global.

 

Berteraskan kepada kepentingan dan manfaat jaringan jalinan kerjasama yang dapat dijana di antara UiTM dan para pemain industri, maka pihak Pusat Asasi UiTM kampus Dengkil secara khususnya   telah   mengambil   inisiatif   dan   mengorak   langkah   melalui pertemuan dan perbincangan awal bersama salah sebuah syarikat bumiputera Green Leaf Consultancy (M) Sdn Bhd.

 

Green Leaf juga merupakan vendor rasmi kepada syarikat ternama iaitu Sime Darby Plantation Berhad bagi tujuan mendapatkan kata sepakat dan persetujuan untuk memeterai perjanjian persefahaman melalui pendekatan secara Memorandum of Understanding (MoU) dan Memorandum of Agreement (MoA).

 

Secara dasarnya, Green Leaf adalah sebuah syarikat bumiputera yang telah mula beroperasi sejak dari 2013 sehingga kini dan terlibat dalam industri perladangan secara komersial yang menawarkan khidmat kepakaran berkaitan khidmat nasihat teknikal ladang, pelan pembajaan dan pengurusan ladang.

 

Berdasarkan kepada pendekatan proaktif dan inisiatif yang dilaksanakan ini, antara implikasi positif yang bakal diperoleh adalah merupakan dari perspektif mempertingkat visibiliti dan nilai tambah terhadap UiTM.

 

UiTM adalah salah sebuah universiti awam berprestij yang berjaya mewujudkan jaringan dan jalinan kerjasama yang sangat baik bersama para pemain industri.

 

 

parafrasa

 

 

Dengan ini, universiti boleh memperluas potensi penyelidikan dan pembangunan teknologi serta penghasilan produk terkehadapan melalui mekanisme penglibatan warga kampus bermula dari peringkat akar umbi iaitu mahasiswa mahasiswi sehinggalah penyertaan dari golongan ahli akademik.

 

Keterlibatan bersama industri bakal memainkan peranan besar di mana UiTM dapat dilihat sebagai institusi yang mempunyai daya saing yang tinggi bagi memenuhi keperluan pada masa kini dan juga di masa hadapan.

 

Secara tidak langsung, hal ini juga dapat menarik minat para pelajar dan penyelidik berpeluang untuk terlibat dalam lingkungan pembelajaran dan penyelidikan yang berteraskan industri.

 

Dengan demikian, sudah pasti hasil dari kerjasama ini akan memberikan kesan yang sangat positif terutamanya terhadap arena pendidikan dan lapangan industri, serta memperkukuhkan kedudukan UiTM dalam landskap pendidikan negara.

 

Seiringan dengan kesan positif ini, secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada jaringan usaha sama yang dapat diperluas di antara Green Leaf dan Sime Darby Plantation Berhad bersama pihak fakulti ataupun mana-mana pusat tanggungjawab lain yang memfokuskan kepada keberhasilan teknologi serta pembangunan produk terkehadapan melalui penyelidikan secara lestari.

 

Melalui kolaborasi  ini juga, pihak UiTM yang terlibat akan turut memahami dengan jelas dari segi visi serta perspektif berkenaan keperluan dan trend industri terkini.

 

Kakitangan syarikat industri pula dapat melakukan pertukaran efektif secara dua hala bersama pakar akademik dan sumber manusia universiti bagi  meningkatkan nilai dan mutu inovasi serta menambahbaik produk industri mereka yang sedia ada dan bakal dibangunkan kelak.

 

Bersandarkan kepada manfaat dan kebaikan yang bakal diraih ini, oleh  yang demikian pihak Pusat Asasi UiTM secara khususnya akan berterusan mempergiatkan dan mempertingkatkan usaha bagi menjalinkan hubungan kerjasama bersama.

 

Bukan sahaja berteraskan kepada para pemain industri, malahan akan turut melibatkan ekosistem yang lebih luas seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta, masyarakat dan juga pemerintah.

 

 

iktisad

 

 

Hal ini adalah bertujuan untuk memartabatkan keunggulan dan kemampanan UiTM sebagai salah sebuah universiti awam yang kian disegani bermula seawal dari peringkat asasi.

 

Dengan demikian, pemeteraian perjanjian kesefahaman seperti ini amatlah diharap agar kekal berterusan di mana ia boleh mendorong sinergi yang merangsang pertumbuhan berkelanjutan dan pembangunan holistik dalam setiap ekosistem yang terlibat sama ada di peringkat nasional atau global. - DagangNews.com

 

 

Syazuan Abd. Latip adalah Pensyarah Kanan Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil, dan Khairul Imran Sainan pula adalah Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kolej Kejuruteraan, UiTM Shah Alam