Membangunkan Rantaian Bekalan mampan untuk petani kecil – buka jalan ke arah tanggungjawab sosial | DagangNews Skip to main content

Membangunkan Rantaian Bekalan mampan untuk petani kecil – buka jalan ke arah tanggungjawab sosial

Oleh Dr. Asad Ata, Profesor Madya Operasi dan Pengurusan Rantaian Bekalan di Asia Business School

KEPERLUAN untuk rantaian bekalan yang mampan menjadi semakin mendesak dalam dunia hari ini yang sering mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan alam sekitar dan isu sosial.

 

Pengalaman saya selama 12 tahun dalam bidang Pengurusan Operasi dan Rantaian Bekalan telah memberikan saya sudut pandang yang berharga dalam melihat peluang dan cabaran yang kompleks dalam bidang ini.

 

Sebagai Profesor Madya di Asia School of Business, fokus saya terhadap penyumberan mampan dan pengurusan rantaian bekalan membolehkan saya untuk menyaksikan sendiri kuasa transformatif rantaian bekalan yang menekankan tanggungjawab sosial.

 

Terlatih sebagai Penyelidik Operasi yang dipacu keinginan untuk sentiasa mengejar penambahbaikan, perjalanan saya bermula dengan penelitian terhadap sains pengoptimuman.

 

Sepanjang perkhidmatan saya yang telah bertahun-tahun dalam industri yang melibatkan pelbagai projek dari telekomunikasi hinggalah e-dagang, saya telah menemukan sesuatu yang menarik perhatian iaitu pertembungan antara dua dunia - antara kerjaya saya dan aplikasinya dalam sektor makanan dan pertanian.

 

Berasal daripada keluarga dengan latar belakang pertanian, saya telah menyedari bahawa banyak masalah kritikal di dunia seperti kebuluran, tidak semestinya berpunca daripada masalah pengeluaran, tetapi lebih kepada masalah dan cabaran dalam rantaian bekalan dan pengagihan.

 

 

 Dr. Asad Ata
                                            Dr. Asad Ata

 

 

Misalnya, dalam sebuah projek di India, saya telah berhadapan dengan sebuah situasi mana terdapat sebuah negeri menghasilkan gandum yang berlebihan ketika seluruh negara itu bergelut dengan kekurangan bekalan yang kritikal.

 

Ini berpunca daripada kelemahan dalam aspek penyimpanan dan logistik yang menghalang pengedaran menyeluruh ke kawasan lain. Malah, tahap kerugian pasca-penuaian untuk buah-buahan, sayuran, dan bijirin sebelum ia sampai kepada pengguna juga adalah sangat memeranjatkan.

 

Secara peribadi, pengalaman ini  menjelaskan lagi betapa pentingnya aspek logistik dalam rantaian bekalan makanan dan pertanian.

 

Pengalaman bekerja di Asia Tenggara juga telah memperlihatkan kepada saya tentang wujudnya banyak ruang dan peluang untuk peningkatan kecekapan dalam rantaian bekalan dan terhadap urang bakat yang merisaukan dalam sektor rantaian bekalan.

 

Dalam hal ini, perusahan kecil dan sederhana (PKS) adalah kumpulan yang paling terdedah terhadap sebarang gangguan besar contohnya merekalah yang paling berkesan ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

 

Keterlibatan saya dalam kepelbagaian rantaian bekalan termasuk ayam, pisang, dan sayur-sayuran akhirnya membawa saya fokus kepada kelapa sawit, khususnya yang melibatkan petani kecil bebas di Selatan Semenanjung Malaysia.

 

Kerja ini telah memperluaskan lagi minat penyelidikan saya, di samping memberikan peluang kepimpinan dan pengurusan kepada pihak berkepentingan untuk menghasilkan impak yang nyata di dunia sebenar.

 

Mencari Kemampanan dalam Rantaian Bekalan

Realitinya, untuk mewujudkan kemampanan dalam rantaian bekalan, terutamanya yang melibatkan penggabungan amalan-amalan mampan ke dalam strategi sedia ada merupakan satu cabaran.

 

Walau bagaimanapun, impak perubahan iklim di seluruh dunia telah mempercepatkan lagi kesedaran mengenai kemampanan; ia merupakan satu peringatan bahawa kemampanan bukan lagi sebuah pilihan, tetapi satu keperluan.

 

Justeru, daripada sekadar melihat pada keuntungan semata-mata, syarikat-syarikat kini berpegang pada tiga prinsip utama yang mempertimbangkan masyarakat, planet dan keuntungan kewangan.

 

Namun, salah satu perkara penting yang saya pelajari adalah: untuk mengejar kemampanan, tidak bermakna ia mesti bermisikan ‘sifar-jumlah’. Malah, rantaian bekalan yang bertanggungjawab dan mesra alam sebenarnya mampu memberikan nilai tambah, sambil memenuhi keperluan pengguna yang prihatin.

 

Dalam mengatasi cabaran kelestarian, apa yang kritikal ialah faktor ketelusan, kebolehkesanan, dan tanggungjawab. Selain itu, kerjasama antara semua pihak berkepentingan juga penting untuk mencapai matlamat ini secara proaktif.

 

Peranan Pusat Kelestarian (CSS) di Asia School of Business

Dalam konteks industri kelapa sawit, petani kecil menyumbang sebanyak 40 peratus bekalan global; sebuah sumbangan yang signifikan. Justeru, Pusat Kelestarian Pekebun Kecil atau Center for Sustainable Small-owners (CSS) telah menggalas peranan untuk menjaga kepentingan pekebun kecil bebas, serta memajukan penyumberan yang beretika dan bertanggungjawab.

 

Misi ini dicapai melalui penglibatan di lapangan dan pelaksanaan amalan pertanian yang baik ke arah meningkatkan hasil, di mana semua ini dipacu oleh penyelidikan teliti dan aplikasi praktikal.

 

CSS komited untuk memperkasakan komuniti, memastikan kemapanan, dan mempromosikan penyumberan yang bertanggungjawab melalui pensijilan, dengan matlamat yang lebih luas untuk mencetus impak positif melalui perkongsian pengetahuan.

 

Dengan membantu pensijilan petani kecil bebas di daerah Batu Pahat dan Pontian di Johor mengikut piawaian RSPO Independent Smallholder Standard (RISS) oleh RSPO, CSS memperkasakan para petani ini melalui pengetahuan dan panduan mengenai amalan pertanian dan  pengurusan ladang yang baik.

 

Hasilnya, mereka dapat mengeluarkan minyak sawit mampan bersijil (CSPO), isirung kelapa sawit mampan bersijil (CPK), dan isirung bersijil. CSS juga telah membantu menubuhkan persatuan petani kecil bebas, PERTANIAGA, untuk meningkatkan semangat pemilikan dan kepimpinan komuniti.

 

Selain itu, CSS turut menyedari bahawa piawaian kemampanan mestilah seiring dengan peningkatan mata pencarian. Di bawah Perjalanan Kemapanan CSS atau CSS Sustainability Journey, pusat ini komited untuk membangunkan Ladang Pembelajaran (LeFa) yang menjadi contoh amalan pertanian mampan yang selari dengan peningkatan hasil.

 

Akhirnya, melalui program penyebarannya, CSS memberikan dan meningkatkan kesedaran tentang amalan pertanian baik dan mampan dalam kalangan kumpulan petani dan pengeluar kecil secara amnya. Ini penting bagi memastikan komuniti sekitar mendapat manfaat daripada pengetahuan dan kepakaran yang terhasil daripada inisiatif ini.

 

Cabaran dihadapi Komuniti Petani Kecil

Komuniti petani kecil menghadapi pelbagai cabaran dalam menubuhkan rantaian bekalan yang mampan. Lebih daripada 16% pekebun kecil di Malaysia adalah pekebun bebas yang kurang mempunyai kuasa perundingan yang terpaksa bersaing dengan ladang lebih besar.

 

Mereka juga mempunyai akses yang terhad kepada sumber dan pengetahuan berbanding para petani di bawah skim ladang. Apabila berdepan pelbagai cabaran ini, menjual hasil tanaman secara adil dan telus mungkin menjadi sesuatu yang merugikan bagi pihak mereka.

 

Selain itu, penolakan terhadap perubahan baharu, kurang celik-kewangan, dan perpindahan generasi muda ke kawasan bandar menambah lagi cabaran yang sedia ada.

 

Realitinya, piawaian pensijilan yang sangat bertumpu kepada pematuhan tanpa memberikan nilai tambah yang jelas untuk kelestarian, ditambah pula dengan rantaian bekalan yang berselirat dengan banyak pengantara, menjadi penghalang buat para pekebun kecil daripada mematuhi amalan kelestarian yang disarankan.

 

Jika cabaran ini ingin diatasi, kita memerlukan pendekatan bijak berbilang aspek yang menggabungkan pensijilan, peningkatan mata pencarian, dan penglibatan komuniti untuk menunjukkan bahawa perniagaan yang kukuh sememangnya boleh dibangunkan  melalui amalan kemampanan.

 

Kisah Kejayaan dan Usaha Membuahkan Hasil

Walaupun didepani dengan pelbagai cabaran, program CSS telah melakar banyak kisah kejayaan yang membanggakan. CSS telah membantu pensijilan buat seramai 407 penanam bebas di bawah Independent Smallholder Standard (RISS) oleh RSPO.

 

Lebih bermakna lagi, kumpulan-kumpulan ini menerima pensijilan di bawah Pertubuhan Tani Niaga Lestari Johor atau PERTANIAGA, pertubuhan petani kecil bebas pertama yang dimiliki sepenuhnya untuk kelapa sawit di Malaysia pada Ogos 2021.

 

Seramai 107 penanam dari kumpulan pertama ini telah pun menerima 100% Premium RSPO untuk tahun pertama hasil tanaman mereka yang mendapat pensijilan. 

 

Sementara itu, penanam yang lain bakal menyusul pada tahun 2023 dan dijangka akan menerima 100% Premium RSPO menjelang akhir tahun ini - sekaligus memberikan manfaat ekonomi yang jelas dan nyata.

 

Terdapat kira-kira 500 ladang yang dimiliki oleh para pekebun ini, dan semuanya memiliki lesen yang sah dan aktif daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Pada masa yang sama, pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) melalui Ladang Pembelajaran telah memperlihatkan peningkatan sebanyak 33% dalam hasil keluaran sepanjang 18 bulan pertama, di mana ia telah meningkatkan taraf hidup melalui GAP yang mampan bagi pekebun kecil bebas ini.

 

Kejayaan-kejayaan ini membuktikan bahawa potensi rantaian bekalan yang bertanggungjawab sosial dalam meningkatkan taraf hidup turut menyumbang kepada kelestarian sosial dan alam sekitar.

 

Meningkatkan Skala Rantaian Bekalan Mampan

Aspek kebolehskalaan adalah penting apabila meneroka kemungkinan untuk mereplikasikan inisiatif rantaian bekalan mampan dalam skala yang lebih besar.

 

Walaupun program CSS telah jauh melangkah dan mencapai kemajuan yang signifikan, ia masih merupakan pendekatan dari bawah ke atas. Dalam hal ini, kita memerlukan penyelesaian yang dapat disesuaikan dengan ciri unik setiap landskap pertanian serta cabaran berbeza yang dihadapi oleh pekebun kecil.

 

Oleh itu, pendekatan berdasarkan kawasan yang membolehkan pensijilan pada peringkat serantau mungkin menjadi langkah seterusnya, dengan syarat ia melibatkan penyertaan dari peringkat atas ke bawah dengan penyesuaian perjalanan pensijilan yang sewajarnya.

 

Bagi menyelaraskan inisiatif ini, kita memerlukan usaha sama yang melibatkan organisasi kerajaan, NGO, dan pemegang taruh industri yang berkepentingan untuk memastikan penggunaan amalan mampan yang meluas.

 

Peranan Pemegang Taruh yang Berkepentingan

Organisasi kerajaan, NGO, dan pihak pemegang taruh yang berkepentingan memainkan peranan kritikal dalam menyokong dan menyelaraskan inisiatif rantaian bekalan mampan.

 

Keterlibatan mereka adalah penting dalam mengatasi cabaran dan halangan yang dihadapi oleh para pekebun kecil. Antara peranan utama yang dapat digalas adalah:

 

  • Memberi sokongan kewangan: Organisasi kerajaan, syarikat-syarikat, dan NGO boleh menawarkan bantuan kewangan untuk menampung kos pensijilan dan menggalakkan penggunaan amalan mampan.
     
  • Memperjuangkan perubahan dasar: Pihak pemegang taruh yang berkepentingan boleh memperjuangkan dasar-dasar yang memberi insentif kepada kemampanan dan mempromosikan penyumberan yang bertanggungjawab, sekaligus mencipta persekitaran kondusif bagi pekebun kecil untuk menyertai rantaian bekalan mampan.
     
  • Meningkatkan kesedaran: NGO dan badan kerajaan boleh meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna, serta menggalakkan mereka untuk menyokong produk daripada rantaian bekalan yang bertanggungjawab sosial.
     
  • Memudahkan kerjasama: Pihak pemegang taruh yang berkepentingan boleh bertindak sebagai perantara, memupuk kerjasama di antara petani kecil, syarikat-syarikat, dan badan-badan pensijilan untuk menyelaraskan proses pensijilan.
     
  • Mendorong penyelidikan dan inovasi: Menyokong inisiatif penyelidikan yang meneroka penyelesaian inovatif untuk rantaian bekalan mampan boleh membawa kepada amalan yang lebih efektif dan efisien.

 

Masa Depan Rantaian Bekalan Mampan

Masa depan rantaian bekalan mampan dalam sektor makanan dan pertanian mempunyai potensi yang sangat besar. Teknologi akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan dalam rantaian bekalan.

 

Blok rantai, analisis data, dan peranti Internet of Things (IoT) menyemai potensi untuk membolehkan pengesanan dan pengesahan secara masa nyata untuk amalan mampan.

 

Walaupun terdapat gesaan untuk memboikot atau menggantikan minyak kelapa sawit dengan alternatif lain, namun alternatif yang dicadangkan itu tidak menawarkan impak sosial atau alam sekitar yang lebih baik, bahkan gagal dalam aspek kebolehskalaan.

 

Akhirnya, apa yang menjadi kunci ialah pendekatan pelbagai-disiplin yang menyediakan penyelesaian sosio-teknologi yang memperkasakan pihak berkepentingan sambil menawarkan keuntungan perniagaan yang menjanjikan melalui amalan kemampanan.

 

Kejayaan inisiatif-inisiatif ini bergantung pada penyertaan aktif semua pihak berkepentingan, dari petani dan syarikat-syarikat hingga organisasi kerajaan dan NGO.

 

Bukan mudah untuk membangunkan perjalanan rantaian bekalan yang bertanggungjawab sosial dan mampan, tetapi ia tetap diperlukan. Ia memerlukan komitmen dan rasa kebertanggungjawaban bersama semua pihak yang berkepentingan; sebuah usaha kolektif untuk mencipta nilai bagi semua, sambil melindungi planet dan sumber alam.

 

Dengan mengatasi cabaran yang dihadapi oleh pekebun kecil dan mempromosikan penyelesaian inovatif, kita dapat membuka jalan bagi masa depan yang lebih mampan dan bertanggungjawab dalam sektor makanan dan pertanian. - DagangNews.com