Membina minda usahawan cemerlang: Ciri & Kecekapan Keusahawanan | DagangNews Skip to main content

Membina minda usahawan cemerlang: Ciri & Kecekapan Keusahawanan

Oleh DR ISMAIL AB.WAHAB 

 

KECEMERLANGAN seorang usahawan bukan hanya terletak pada idea dan peluang perniagaan yang hebat semata-mata. Malah usahawan juga seharusnya mempunyai ciri dan kompetensi tertentu dalam pendekatan keusahawanan yang dilaksanakannya membabitkan sikap, pengetahuan dan kemahiran.

IsmailWahab
Dr Ismail Ab. Wahab

Walaupun tidak terdapat ciri dan kompetensi khusus yang boleh dikaitkan dengan usahawan berjaya, namun pengalaman dan kajian lepas telah mengenal pasti beberapa ciri dan kompetensi yang sering dimiliki oleh usahawan berjaya dan cemerlang.

Antara ciri-ciri usahawan berjaya dan cemerlang ialah kebolehan dalam merancang matlamat, berfikiran positif, penyabar, mempunyai semangat dan keazaman, tetap pendirian, sentiasa bermuhasabah diri, berdisiplin, tidak takut gagal, bertanggungjawab, dan cekal.

 

Merancang Matlamat

Langkah pertama untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam dunia keusahawanan ialah merangka matlamat jangka pendek dan jangka panjang.

Matlamat merupakan hasil yang hendak dicapai dalam sesuatu tempoh yang ditetapkan. Usahawan berjaya adalah mereka yang berusaha dan mampu mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Jika usahawan tidak merangka matlamat, sasaran yang hendak dicapai tidak dapat ditetapkan, maka usahawan tidak akan merancang dan tidak akan bertindak untuk mencapainya. Jika ada sesuatu matlamat yang hendak dicapai, barulah usahawan dapat mengatur strategi dan langkah tertentu untuk memastikan pencapaian matlamat tersebut.

 

Berfikiran Positif

Perasaan, kepercayaan dan pengetahuan seseorang usahawan lazimnya terhasil dari apa yang mereka fikir, sama ada secara sedar atau separuh sedar.

Sebenarnya kitalah yang mengawal diri sendiri sama ada kita sedar atau tidak. Seseorang usahawan boleh menjadi positif atau negatif, seronok atau bosan, aktif atau pasif bergantung kepada apa yang difikirkannya.

Kemampuan usahawan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, mengharung cabaran hidup, mengawal perasaan dan emosi banyak bergantung kepada tanggapan yang wujud dalam kotak pemikiran mereka.

Jika mereka berfikiran positif, hasilnya menjadi positif, tetapi jika mereka berfikiran negatif maka hasilnya akan menjadi negatif. Semua tanggapan, sama ada positif atau negatif, lazimnya dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti cara didikan, pergaulan dengan masyarakat, bahan-bahan bacaan, idola, media massa dan juga pengalaman silam.

Sesuatu yang dianggap baik akan menjadi pegangan hidup dan seterusnya akan menjadi sumber rujukan pada masa hadapan. Justeru, usahawan yang berjaya lazimnya dapat menyesuaikan dirinya dengan persekitaran yang boleh membantunya menjadi usahawan berjaya dan cemerlang.

 

Sabar

sudah menjadi kelaziman sesuatu yang baik itu tidak mudah untuk dicapai. Ia memerlukan kegigihan dan kesabaran.  Sudah pasti setiap usahawan akan menemui pelbagai rintangan dan dugaan dalam usaha untuk mencapai kejayaan. Namun mereka perlu berusaha tanpa cepat mengalah dan putus asa.

Bagaimana sukar sekali kerja yang lakukan, usahawan perlu terus mencuba dan mencuba, tanpa mudah menyerah kalah. Menyerah kalah bermakna mengundang kegagalan. Kesabaran adalah ketabahan dalam menghadapi pelbagai rintangan dan halangan dalam usaha untuk mencapai matlamat.

Kesabaran juga bermaksud keberanian untuk mengubah apa yang boleh diubah dan rela menerima apa yang tidak mampu diubah. Usahawan-usahawan yang berjaya pernah melalui pelbagai rintangan dan halangan sebelum mereka berjaya. Berkat kegigihan dan kesabaran menyebabkan mereka berjaya dan cemerlang dalam bidang masing-masing. Usahawan yang berfikiran positif biasanya akan bertindak seperti ini.

 

Semangat dan Keazaman

Setiap usahawan mempunyai potensi untuk berjaya. Potensi yang ada dalam diri usahawan hanya akan dapat direalisasi atau dijelmakan melalui tindakan positif. Ini boleh berlaku jika usahawan mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi.

Kecemerlangan dan kejayaan bukan sahaja dapat dicapai melalui daya intelek tetapi juga melalui semangat dan keazaman.yang tinggi. Masalah dan rintangan tetap wujud, namun dengan adanya semangat dan keazaman, usahawan mampu mengatasinya.

Berbekalkan semangat dan keazaman, usahawan akan lebih bersikap proaktif dalam melaksanakan aktiviti keusahawanan. Usahawan yang proaktif mampu merebut peluang dan mengambil kesempatan, seterusnya mempunyai daya usaha dalam mengambil tindakan yang tepat untuk memanfaatkan peluang dan kesempatan tersebut.

 

Tetap Pendirian

Usahawan berjaya dan cemerlang adalah mereka yang tetap pendirian dalam membuat keputusan atau melakukan sesuatu usaha demi mencapai matlamat. Apabila sesuatu keputusan telah dibuat, usahawan tidak akan berganjak dengan keputusan tersebut walaupun menerima pelbagai cabaran, tekanan dan kritikan.

Mereka tegas dan tepat dalam membuat sebarang keputusan. Perancangan matlamat yang telah dibuat dengan yakin, tidak akan diubahnya melainkan jika benar-benar perlu dan terbukti dapat menghasilkan pencapaian yang lebih baik. Dengan berpendirian tetap, seseorang usahawan akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tindakannya dan ini akan menjimatkan masa dan tenaga.

 

Muhasabah Diri

Satu daripada amalan usahawan berjaya ialah sentiasa bermuhasabah diri. Muhasabah diri bermaksud merenung dan menilai kembali apa yang telah berlaku sama ada yang manis atau yang pahit.

Ini bertujuan menjadikan semua perkara yang telah berlaku sebagai pengajaran dan iktibar sebelum meneruskan usaha-usaha berikutnya dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Muhasabah diri harus dilakukan setiap hari.

 

Disiplin Diri

Usahawan yang mempunyai disiplin diri yang tinggi bukan sahaja dapat melakukan sesuatu dengan lebih berkesan bahkan mampu mencapai sesuatu yang difikirkan mustahil untuk dicapai sebelum ini. Ini kerana mereka memiliki keyakinan diri yang tinggi dan lebih fokus kepada perkara yang hendak dicapai.

Bagi mencapai tahap disiplin diri yang tinggi, usahawan perlu ada kekuatan dalaman terutamanya untuk melawan pelbagai dugaan dan cabaran. Mereka akan lebih komited dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Mereka akan melaksanakan tugas dalam waktu yang ditetapkan sehingga selesai.

 

Tidak Takut Gagal

Takut kepada kegagalan merupakan salah satu daripada ketakutan yang paling utama yang dihadapi oleh kebanyakan usahawan. Takut kepada kegagalan berkait rapat dengan takut kepada kritikan atau takut disingkirkan oleh orang lain.

Lazimnya, seseorang yang mempunyai tahap takut kepada kegagalan yang tinggi tidak berani mengambil risiko atau takut mencuba sesuatu yang baru kerana bimbang akan menemui kegagalan. Sebenarnya kegagalan adalah penting sebagai maklum balas dalam membantu usahawan untuk berjaya dengan tidak mengulang kesilapan yang pernah dilakukannya.

 

Bertanggungjawab

Mengikut pakar psikologi, terdapat dua faktor yang mempengaruhi keadaan yang berlaku dalam kehidupan manusia, iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Contoh faktor dalaman ialah keimanan, kebijaksanaan, kemahiran, kepercayaan, kekuatan, dan sebagainya.

Contoh faktor luaran pula ialah persekitaran, ibu bapa, rakan, orang lain, dan sebagainya. Kebanyakan manusia lebih cenderung untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya jika mereka berjaya mencapai sesuatu, tetapi sering menyalahkan faktor luaran jika gagal mencapainya.

Sebenarnya, usahawan berjaya sentiasa mengambil tanggungjawab sepenuh terhadap kejayaan atau kegagalannya. Adalah lebih mudah untuk mencari penyelesaian jika seseorang itu bertanggungjawab terhadap punca kegagalan tersebut. Oleh kerana diri sendiri yang mengawal keadaan, maka mudahlah mencari penyelesaiannya sendiri.

Jika masih gagal mencapai apa yang dirancang, maka hendaklah bersedia menerimanya walaupun pahit tanpa menyalahkan orang lain atau persekitaran (faktor luaran). Usahawan yang sanggup mengambil tanggungjawab memilki punca kawalan diri bersifat dalaman, iaitu mereka percaya bahawa sesuatu peristiwa yang berlaku adalah hasil daripada sikap dan tindakan mereka sendiri.

Usahawan yang takut kepada kegagalan sentiasa melindungi kelemahan mereka dengan mengkritik dan menyalahkan orang lain sebagai punca kegagalannya. Mereka sentiasa merasa tidak puas hati, merungut dan mengadu tentang hampir semua perkara dan menyalahkan hampir semua pihak.

 

Cekal

Beberapa kajian ke atas usahawan berjaya mendapati bahawa usahawan berjaya dan cemerlang memiliki tahap kecekalan yang tinggi, iaitu mereka memiliki keinginan dan semangat yang kuat dalam diri mereka untuk menempuh pelbagai rintangan dalam usaha untuk mencapai matlamat.

Untuk mencapai tahap kecekalan yang tinggi seseorang memerlukan tahap motivasi yang tinggi yang mendorongnya berusaha untuk melakukan sesuatu bagi mencapai kejayaan. - DagangNews.com

 

(Penulis merupakan mantan Profesor Keusahawanan Universiti Teknologi MARA)