Memorandum 175 NGO rayu campur tangan Agong dan Raja-Raja Melayu, hentikan pertelingkahan politik | DagangNews Skip to main content

Memorandum 175 NGO rayu campur tangan Agong dan Raja-Raja Melayu, hentikan pertelingkahan politik

Istana Negara

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan 175 NGO Islam Malaysia menerusi memorandum yang dibawa ke Istana Negara hari ini merayu campur tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk menitahkan agar pemimpin politik mengutamakan nyawa rakyat ketika menghadapi pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.

 

Gabungan NGO dalam memorandum berkenaan menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar dapat meneliti rayuan yang dibuat supaya campur tangan untuk menghentikan percakaran antara para pemimpin parti-parti politik dan meminta semua pemimpin memberi keutamaan kepada nyawa rakyat bukannya pada percaturan kuasa.

 

"Kebimbangan patik sekalian, jika sekiranya kerajaan yang ada ini terbubar, maka tiada mana-mana pihak yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan.

 

"Sekiranya keadaan ini berlaku ia sudah pasti akan menjejaskan dan meletakkan negara dalam keadaan yang amat tidak stabil. Ini akan menjejaskan usaha dan fokus kerajaan menagani COVID-19," jelas memorandum tersebut.

 

Dalam memorandum sama, gabungan NGO tersebut menyambut titah nasihat daripada Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang yang menitahkan agar pemimpin berhenti daripada perebutan kuasa dan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan perpaduan ummah.

 

Tambah gabungan NGO itu, kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan oleh baginda Raja-Raja Melayu berkaitan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan itu perlu ditangani oleh semua pihak.

 

"Seharusnya pada masa sekarang ini semua pihak berganding bahu dan berkongsi ikhtiar bagi memastikan COVID-19 dapat dibentuk, program imuniti berkelompok dapat dicapai dan ekonomi negara dapat digerakkan semula.

 

"Jika semua itu dapat dilakukan secara bersama dan penuh istiqamah patik sekelian percaya negara ini akan kembali pulih seperti sediakala dalam tempoh yang sepatutnya.

 

"Malangnya pemimpin-pemimpin politik lebih mengutamakan ego masing-masing yang berteraskan semata-mata kepada kepentingan kepartian dan kelompok bukannya kesejahteraan rakyat terbanyak," jelas mereka lagi.

 

Mengulas lanjut, gabungan NGO itu berpandangan bahawa pemimpin politik tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mencari kata sepakat bagi memerangi musuh bersama, sebaliknya merosakkan demokrasi dengan cara menyalahgunakannya bagi kepentingan sendiri.

 

Sementara itu, isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri atau pertukaran kerajaan bukan perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini.

 

Mereka berpendapat, perkara tersebut hanya akan menambahkan lagi kecelaruan yang sedia ada. 

 

"32 juta rakyat Malaysia tidak patut dipertaruhkan nyawanya hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa.

 

"Tidak ada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

 

" Apa yang patik sekalian khuatiri ialah ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan nasib rakyat akan menjadi lebih buruk," jelas memorandum itu lagi. - DagangNews.com