Menanti PM baharu, KLCI kembali melantun didorong keyakinan terhadap ekonomi | DagangNews Skip to main content

Menanti PM baharu, KLCI kembali melantun didorong keyakinan terhadap ekonomi

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pasaran tempatan mengukuh dalam dagangan pagi ini menjelangnya pelantikan Perdana Menteri baharu yang turut didorong beberapa pengumuman kelonggaran diberikan kepada negeri di bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara.

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI dibuka 2.94 mata lebih tinggi kepada 1,517.89 mata setelah menyusut lebih 10 mata dalam penutupan semalam kepada 1,514.95 mata.

 

Malacca Securities Research percaya, gambaran jelas mengenai situasi politik dan kelonggaran bagi fasa pertama dan juga musim laporan kewangan bulan ini banyak membantu dagangan bursa tempatan.

 

"Bagaimanapun, faktor negatif perlu diambil kira terutama jangkitan harian COVID-19 kekal tinggi dan juga harga minyak sawit mentah yang semakin menurun, di bawah paras RM4,500 satu tan metrik," katanya dalam nota kajian ekonomi.

 

Sementara itu, menurut Bloomberg, pasaran Asia dilihat berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan gelombang varian Delta yang boleh mengekang usaha mencapai imuniti kelompok dan pembukaan semula ekonomi.

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan 210 kaunter untung mengatasi 176 rugi dan 230 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi kaunter aktif, saham TFP Solutions Bhd. mendahului dagangan dengan menokok 1 sen kepada 22 sen diikuti Advance Synergy Bhd. (ASB) menokok 1 sen kepada 18 sen. 

 

Freight Managament Holdings Bhd. juga rancak diniagakan pada 80.5 sen setelah harga sahamnya menokok 7 sen atau 9.52%. 

 

Ia juga muncul antara saham paling untung pagi ini apabila syarikat merekodkan untung bersih pada suku keempat berakhir 30 Jun 2021 meningkat lebih 7 kali ganda kepada RM8.58 million berbanding RM1.11 bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Kaunter untung bagaimanapun didahului dengan Computer Forms (Malaysia) Bhd. (CFM) meningkat 33 sen atau 29.73% kepada RM1.44 selepas mengumumkan pemberian dividen khas sebanyak 20 sen bagi menghargai pemegang sahamnya. 

 

Ini diiikuti dengan saham Formosa Prosonic Industries Bhd. menokok 25 sen kepada RM3.06 manakala Vitrox Corp Bhd. naik 14 sen kepada RM18.98. 

 

Sebaliknya, Sam Engineering & Equipment (M) Bhd. susut 12 sen kepada RM12.62 diikuti Dutch Ladi Milk Industries Bhd. susut 10 sen kepada RM32. - DagangNews.com