Menara TM terbuka untuk jualan kepada yang berminat | DagangNews Skip to main content

Menara TM terbuka untuk jualan kepada yang berminat

KUALA LUMPUR 9 Feb - Menara TM, sebuah daripada pencakar langit yang unik di ibu negara, kini ditawarkan untuk dijual.

 

Menurut satu iklan dalam akhbar The Star hari ini, penjualan bangunan yang dihuni oleh Telekom Malaysia Berhad itu terbuka kepada pihak yang berminat.

 

Tarikh tutup peringkat pertama penjualan ialah pada pada pukul 12 tengahari, 18 Mac ini. Walaubagaimanapun, tiada harga dinyatakan.

 

Bangunan setinggi 55 tingkat di Pantai Baru, Kuala Lumpur itu direka bentuk oleh Hijjas Kasturi Associates dan siap pada 2001.

 

Dibina dengan kos kira-kira AS$160 juta ketika itu, telah dibangunkan oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd.

 

Menara ini menempatkan ibu pejabat Kumpulan TM dan memiliki status MSC, simbol perkhidmatan berkelas dunia oleh kerajaan Malaysia.


 

tm

 

 

Menara TM dirasmikan pembukaannya pada 2003 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Sementara itu, dalam kenyataan petang ini, TM menjelaskan bahawa pihak syarikat merupakan penyewa di Menara TM, yang terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur itu.

 

"TM bukan pemilik bangunan tersebut, dan tidak terlibat sama sekali di dalam usaha penjualan bangunan berkenaan oleh pemiliknya, Menara ABS Bhd.

 

"Pihak syarikat juga kini dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke premis-premis milik TM, termasuklah TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta premisnya di Cyberjaya.

 

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program optimisasi syarikat bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing TM, serta bagi menampung keperluan berkerja secara hibrid," jelasnya.  - DagangNews.com