Mengejutkan Touch ‘n Go tidak mohon lesen perbankan digital - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Mengejutkan Touch ‘n Go tidak mohon lesen perbankan digital - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Penganalisis menyifatkan tindakan Touch ‘n Go yang setakat ini, tidak menyertai pembidaan lesen perbankan digital sebagai satu perkembangan yang mengejutkan.

 

Penganalisis di Kenanga Research, Clement Chua percaya pengendali sistem pembayaran elektronik itu akan menjadi pesaing kuat dengan pasaran tawanan mereka daripada ekosistem TnG yang sememangnya besar.

 

“Terdapat beberapa kelebihan yang kami jangkakan Axiata Digital (menerusi Boost) dan Grab akan dapat manfaatkan sepenuhnya jika mereka diberikan lesen tersebut. 

 

“Inikan pula penggabungan TnG dengan CIMB Group yang mampu menghasilkan banyak peluang kerjasama,” jelas Chua dalam satu nota penyelidikan. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) mula menerbitkan Kerangka Perlesenan untuk Bank Digital pada 30 Disember 2020, di mana sebanyak lima lesen perbankan digital akan diserahkan kepada pembida pada suku pertama 2022 (1Q22).

 

Sepanjang tempoh permohonan enam bulan setakat Jun 2021, BNM menyaksikan permohonan daripada 29 peserta dengan campuran institusi teknologi kewangan (fintech), penyedia e-perdagangan mahupun konglomerat.

 

Seperti dijangkakan firma itu, Chua berkata, sebilangan besar pembida merupakan gabungan konsortium yang mengumpulkan kepakaran dan sumber daya ke dalam usaha perniagaan baharu.

 

Chua tidak menafikan hampir semua pemain industri e-dompet mempunyai potensi untuk meraih lesen perbankan digital memandangkan mereka bukan hanya mempunyai penapakan yang kukuh dalam perkhidmatan kewangan, malah jenama yang diketahui meluas akan mewujudkan keyakinan dalam kalangan pengguna. 

 

“Pada pandangan kami, persaingan yang sengit daripada perbankan digital mungkin mencetuskan penggabungan dalam kalangan pemain industri (perbankan) tradisional. Dalam masa terdekat ini, pasaran sasaran oleh perbankan digital adalah pinjaman mikro yang menjangkaui radar kebanyakan bank. 

 

“Ramai yang menzahirkan terlampau banyak bank di Malaysia dan penyertaan perbankan digital mungkin akan menjadi pemangkin ketika tahap permintaan bagi kecekapan dan daya saing akan dapat menyingkirkan sebarang pertindihan.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan bank tradisional akan terus berevolusi ke dalam model perniagaan pseudo-digital di mana platform konvensional seperti cawangan bank, ATM, perkhidmatan pelanggan hanya akan berperanan sebagai pelengkap,” kata Chua lanjut. - DagangNews.com