Menjelang mesyuarat Fed, pelabur berhati-hati | DagangNews Skip to main content

Menjelang mesyuarat Fed, pelabur berhati-hati

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Mac - Pasaran tempatan meneruskan aliran menurun bagi hari terakhir minggu kedua Mac apabila pelabur terus memperoleh keuntungan. 

 

Bagaimanapun, pasaran Asia yang lain seperti China, Hong Kong, Jepun, Korea, Filipina dan Indonesia merekodkan kenaikan dalam dagangan hari ini. 

 

Pergerakan ini mencerminkan indeks S&P 500 dan Dow Jones yang ditutup pada paras tertinggi semalam ekoran kebimbangan peningkatan inflasi yang menyusut diikuti dengan kejatuhan di luar jangkaan bagi tuntutan pengangguran mingguan di Amerika Syarikat (AS). 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, sentimen pasaran secara menyeluruh agak bertenaga apabila Presiden AS, Joe Biden menandatangani rang undang-undang rangsangan ekonomi bernilai AS$1.9 trilion secara tidak langsung semakin mengukuhkan jangkaan terhadap pemulihan ekonomi. 

 

"Bagi pasaran tempatan, saham-saham perbankan terus memberi tekanan memandangkan kaunter perbankan di bawah FBM KLCI seperti CIMB, RHB Bank, Maybank, RHB, Hong Leong dan Public Bank merekodkan kerugian. 

 

"Ini mengheret turun indeks perkhidmatan kewangan sebanyak 1.1% menjadikan ia sektor ketiga paling merosot selepas indeks penjagaan kesihatan dan pembinaan Bursa Malaysia," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Petang ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.72 mata atau 0.84% untuk ditutup kepada 1,615.69 mata. 

 

Ia menyaksikan 9.58 bilion saham diniagakan bernilai RM5.48 bilion, berbanding semalam sebanyak 9.53 bilion saham bernilai RM5.44 bilion. 

 

Keseluruhan kaunter adalah positif apabila kaunter untung mengatasi rugi pada 630 berbanding 529 manakala 468 kaunter tidak berubah. 

 

Menurut Reuters kebanyakan pasaran ekuiti Asia menokok pada Jumaat dan bersedia untuk merekodkan kenaikan didorong pakej rangsangan ekonomi AS dan penurunan hasil bon membantu meningkatkan rentak pelabur. 

 

Pasaran global menerima rangangan selepas Joe Biden menandatangani rang undang-undang rangsangan ekonomi bernilai AS$1.9 trilion.

 

Secara keseluruhan, pasaran kewangan juga bercampur-campur setelah dolar AS meningkat daripada paras terendah seminggu kerana hasil bon meningkat lebih tinggi.

 

Mengulas mengenai pasaran pada minggu hadapan, Adam berkata, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat antara 1,600 hingga 1,625 mata. 

 

Mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) pada 16 hingga 17 Mac ini akan menjadi antara tumpuan utama pelabur memandangkan badan dunia ini berdepan tugas sukar untuk menghidupkan semula ekonomi AS. 

 

"Antara kebimbangan ialah pakej rangsangan Biden yang besar akan mengakibatkan inflasi dalam negara kuasa ekonomi terbesar dunia itu. 

 

"Apatah lagi, sebarang tindakan Fed kini boleh mendatangkan kebimbangan kepada pasaran," katanya.

 

Bagi pasaran kewangan pula, beliau berkata, ringgit susut 1% berbanding dolar AS pada RM4.118 sepanjang minggu ini. 

 

Katanya, para pelabur kini menantikan mesyuarat Fed dan turut dipengaruhi kelemahan harga minyak mentah global. 

 

"Oleh itu, ringgit kemungkinan diniagakan dalam kekangan julat antara RM4.09 hingga RM4.11 berbanding dolar AS pada minggu hadapan," katanya. - DagangNews.com