Menteri Kewangan umum insentif tambahan buat petani, nelayan dan pekebun getah | DagangNews Skip to main content

Menteri Kewangan umum insentif tambahan buat petani, nelayan dan pekebun getah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov.  -  Kerajaan bersetuju untuk memberi insentif tambahan kepada sektor pertanian, nelayan dan pekebun getah sebagai suntikan susulan yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2021. 

 

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.

 

Bagi sektor pertanian, Tengku Zafrul berkata, kerajaan bercadang untuk menyediakan peruntukan RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian. 

 

“Bantuan khas ini dapat memanfaatkan petani yang terdiri daripada pesawah, nelayan dan pengusaha akuakultur, pekebun dan penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran hasil tanaman kesan daripada bencana alam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Selain itu, kerajaan juga mencadangkan kenaikan kadar Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar, kata Tengku Zafrul. 

 

Cadangan itu adalah susulan isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas - Sik) agar kenaikan tersebut wajar dipanjangkan kepada nelayan darat. 

 

Seterusnya, bagi golongan pekebun kecil getah, sebanyak RM300 sebulan akan dibayar pada bulan Disember 2020, Januari dan Disember 2021, kepada pekebun kecil yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

 

Bayaran itu dibuat apabila pihak kerajaan bersetuju untuk meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang bakal memanfaatkan lebih daripada 300,000 pemilik kebun getah dan penoreh getah sehingga tahun hadapan.

 

“Sektor pertanian merupakan penyumbang asas kepada pembentukan ekonomi Malaysia dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat kepada rakyat. 

 

“Nelayan juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pembangunan dan ekonomi industri perikanan selain membantu bekalan makanan negara sentiasa mencukupi. 

 

“Kerajaan (juga) prihatin kepada nasib pekebun kecil getah yang terjejas daripada naik turun harga komoditi getah dan bencana alam,” tambah Tengku Zafrul.


Setelah menerima kritikan dan cadangan penambahan daripada Ahli-Ahli Parlimen, RUU Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 telah meraih suara majoriti di Dewan Rakyat pada peringkat dasar.  - DagangNews.com