Mercury Securities nilai harga sasaran Edelteq pada 34 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities nilai harga sasaran Edelteq pada 34 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Mercury Securities memberi harga sasaran 34 sen sesaham terhadap Edelteq Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 1.7 sen dan harga perusahaan 20 kali sejajar dengan purata pemain industri lain. 

 

Menurut firma itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 42% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO). 

 

"Kami menyukai saham itu kerana rancangan pengembangannya yang menarik dan keupayaan teknikal yang tinggi, berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan industri semikonduktor yang diramalkan oleh International Data Corporation (IDC) akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 4.93% dari 2021 hingga 2026.

 

"Kumpulan mempunyai 0.0099% dan 0.072% bahagian pasaran mengikut nilai perniagaan dalam reka bentuk dan pemasangan BIB IC dan pembekalan papan litar bercetak (PCB), dan reka bentuk, pembangunan dan pemasangan peralatan ujian automatik (ATE) dan automasi kilang di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Edelteq mempunyai portfolio pelanggan yang kukuh yang terdiri daripada pengeluar peranti bersepadu (IDM) dan  pemain penyumberan luar pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT) multinasional yang terletak di Malaysia, Singapura, Thailand, China dan Amerika Syarikat.

 

Syarikat itu dapat mengekalkan hubungan baik dengan pelanggan utamanya dari satu hingga 19 tahun melalui pesanan berulang.

 

Kumpulan itu, berhasrat untuk mengembangkan kapasiti pengeluarannya melalui pembinaan kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Katanya, kilang itu akan mempunyai kawasan binaan kira-kira 43,500 kaki persegi dengan 26,000 kaki persegi akan diperuntukkan untuk ruang pengeluaran, 4,700 kaki persegi untuk ruang simpanan dan sekitar 12,200 kaki persegi untuk ruang pejabat.

 

"Apabila kilang baharu siap, ia akan meningkatkan kapasiti tahunannya untuk IC, PCB dan produk berkaitan kepada jumlah yang lebih besar," katanya.

 

Semasa pelancaran prospektus, kumpulan itu menyasarkan untuk menjana sebanyak RM24 juta daripada IPO dan akan menggunakan RM3.7 juta bagi pembinaan kilang baharu di Batu Kawan dan RM3.1 juta untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

 

Syarikat pembekal sokongan kejuruteraan untuk pemasangan IC dan proses ujian dalam industri semikonduktor itu juga akan menggunakan RM3.4 juta untuk modal kerja, RM10.3 juta bagi membayar balik pinjaman bank dan baki RM3.6 juta membayar perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com