Mercury Securities nilai harga sasaran Wentel Engineering Holdings sebanyak 36 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities nilai harga sasaran Wentel Engineering Holdings sebanyak 36 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Mercury Securities memberi harga sasaran pada 36 sen terhadap Wentel Engineering Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2025 (FY23) sebanyak 2.8 sen dan harga perusahaan 13 kali sejajar dengan purata pemain industri lain. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 38.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO). 

 

"Kami menyukai saham ini kerana ia memiliki rekod prestasinya yang mantap dan hubungan kukuh dengan pangkalan pelanggan globalnya.

 

"Kumpulan itu berpeluang mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri fabrikasi logam di Malaysia yang meningkat sebanyak 8.1% kepada RM13.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan 2023 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Wentel Engineering sasar RM71.03 juta daripada IPO di Pasaran ACE

 

Firma penyelidikan itu berkata,  kumpulan itu menyediakan rumusan sehenti untuk pelanggan termasuk reka bentuk produk baharu, lukisan teknikal serta reka bentuk jiga serta lekapan bagi proses pembuatan tepat.

 

Katanya, pasukan kejuruteraan kumpulan itu meliputi semua segmen termasuk pengenalan produk baharu, pengeluaran, pengaturcaraan CAM, pematuhan, jualan, pemasaran dan jaminan kualiti.

 

Dalam pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraiannya, kumpulan itu dijangka meraih RM71.03 juta daripada IPO dan akan menggunakan 56.31% daripadanya bagi membiayai pembinaan kilang baharu manakala 35.24% bagi menampung pembelian peralatan serta mesin.

 

TA Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com