Meridian akan digantung jika gagal serah Laporan Tahunan 2023 selewat-lewatnya 5 April - Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Meridian akan digantung jika gagal serah Laporan Tahunan 2023 selewat-lewatnya 5 April - Bursa Malaysia

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 April - Bursa Malaysia Securities Bhd akan menggantung dagangan dalam saham Meridian Berhad sekiranya syarikat itu gagal menyerahkan laporan tahunan 2023 menjelang 5 April ini.

 

Pengumuman itu dibuat kerana Meridian Berhad terlepas tarikh akhir untuk menyerahkan laporan tahunan 2023 yang turut merangkumi laporan kewangan pada 31 Mac 2024.

 

"Sekiranya Meridian Berhad tidak dapat menyerahkan laporan tertunggak berkenaan pada atau sebelum 5 April 2024, dagangan saham syarikat akan digantung berkuat kuasa pukul 9 pagi, pada 8 April 2024 sehingga diberitahu kelak," kata Bursa Malaysia.

 

Jelasnya, berdasarkan Perenggan 9.28(5) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR), jika penerbit tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh lima hari pasaran selepas tamat tempoh masa berkaitan yang dinyatakan dalam Perenggan 9.22 dan 9.23 LR sebagai tambahan kepada sebarang tindakan penguatkuasaan yang mungkin diambil oleh Bursa Securities, Bursa Securities hendaklah menggantung dagangan dalam sekuriti penerbit tersenarai berkenaan.

 

"Penggantungan itu akan berkuat kuasa pada hari dagangan berikutnya selepas tarikh akhir penggantungan," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan kewangan 4QFY23 tertangguh, Country Heights perlu masa tangani kekeliruan perakaunan

 

meri

 

Bursa Malaysia berkata, menurut Perenggan 9.28(6) LR, jika penerbit tersenarai gagal mengeluarkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh enam bulan dari tarikh tamat tempoh masa yang berkaitan, sebagai tambahan kepada sebarang tindakan penguatkuasaan yang mungkin diambil oleh Bursa Securities, prosedur nyahsenarai harus dikenakan terhadap penerbit tersenarai berkenaan.

 

Bagi suku kewangan berakhir 30 November 2023, Meridian Berhad melaporkan pendapatan RM321,000 dan rugi bersih RM1.22 juta.

 

Pada 2.30 petang, saham Meridian Berhad digangkan pada setengah sen dengan 2.23 juta saham bertukar tangan melibatkan modal pasaran RM11.4 juta. - DagangNews.com