Mesiniaga raih kontrak bernilai RM38.1 juta selenggara sistem MYGST Jabatan Kastam | DagangNews Skip to main content

Mesiniaga raih kontrak bernilai RM38.1 juta selenggara sistem MYGST Jabatan Kastam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Mesiniaga Berhad berjaya meraih kontrak bernilai RM38.1 juta daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan sistem MYGST dan pembaharuan lesen bermula 2023 hingga 2025.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu berkuat kuasa serta-merta sehingga Oktober 2025.

 

"Ini adalah kontrak pertama yang diumumkan oleh Mesiniaga tahun ini. Bagaimanapun kontrak itu tidak memiliki kalusa pembaharuan automatik.

 

"Kontrak terakhir yang diraih kumpulan itu adalah pada Disember 2022, apabila ia memperoleh kontrak bernilai RM43.62 juta bagi membangun dan menyelenggara sistem pendaftaran korporat untuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

 

Kumpulan mencatatkan kerugian RM792,000 pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23) berbanding untung bersih RM2.35 juta pada tahun lalu, dengan pendapatan susut 12.6% kepada RM122.13 juta daripada RM139.74 juta.

 

Ia disebabkan oleh anugerah dan penyiapan projek yang tertangguh.

 

Kumpulan itu mempunyai tunai bersih RM13.02 juta pada akhir Jun, pinjaman jangka pendek RM12.56 juta dan pinjaman jangka panjang RM413,000, berbanding baki tunai RM26 juta.- DagangNews.com