Mestron raih kontrak daripada Tamaco Pole bernilai RM10.3 juta | DagangNews Skip to main content

Mestron raih kontrak daripada Tamaco Pole bernilai RM10.3 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Dis - Mestron Holdings Bhd. memperoleh kontrak bernilai S$3.2 juta (kira-kira RM10.3 juta) daripada Tamaco Pole Manufacturing Pte Ltd, menjadikannya kontrak terbesar daripada pelanggan tunggal yang diraih kumpulan bagi tahun ini.

 

Nilai tempahan pembelian (PO) itu adalah bersamaan kira-kira 22% daripada hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), meningkatkan jumlah nilai kontrak kepada RM63 juta. 

 

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng berkata, PO itu telah memberi peluang kepada kumpulan untuk mempelbagaikan asas pendapatan dan mengurangkan kebergantungan pada pasaran tempatan.

 

Katanya, ia adalah peluang yang baik untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dan memanfaatkan peningkatan permintaan untuk produk di luar Malaysia.

 

"Memandangkan rekod prestasi Tamaco yang kukuh, kami yakin bahawa hubungan yang terjalin dengan syarikat yang berpangkalan di Singapura ini akan mewujudkan hubungan jangka panjang yang akan menambah nilai kepada Mestron.

 

"Kontrak terbaharu ini berpotensi membawa kepada pesanan yang lebih besar daripada Tamaco, atau kontrak baharu daripada pemain industri lain di Singapura," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dengan lebih 40 tahun pengalaman dalam industri, Tamaco terlibat dalam pembekalan perniagaan berkaitan tiang keluli lampu dan khidmat nasihat perundingan.

 

Berdasarkan laporan tahunan bagi FY21, kira-kira 93% daripada hasilnya dijana dari Malaysia, manakala kurang 2% dari Singapura.

 

Dari segi penghantaran produk, Mestron akan menghantar produk secara progresif ke lokasi yang telah dipersetujui Mestron dan Tamaco.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, penghantaran akan dilakukan selepas penerimaan memo penghantaran dari semasa ke semasa, tertakluk kepada penghantaran penuh menjelang akhir 2023. - DagangNews.com