Mesyuarat FOMC berakhir, ringgit melantun semula | DagangNews Skip to main content

Mesyuarat FOMC berakhir, ringgit melantun semula

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Ringgit kembali menokok dalam dagangan pagi ini setelah pelabur menarik nafas lega dengan berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS). 

 

Mata wang tempatan itu dibuka pada RM4.1090/1130 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.1190/1240.

 

Menurut HLIB Research, pendirian dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) yang tegas, sedikit sebanyak akan memudarkan kenaikan dalam dolar AS/ringgit seperti yang dilihat dalam jualan dolar AS semalaman yang meluas.

 

Katanya, dolar AS terus melemah selepas selesai mesyuarat FOMC pada Rabu, dengan indeksnya ditutup pada 91.44 selepas mencecah paras rendah 91.37. 

 

"Memandangkan pasaran mengambil kira mesyuarat ini, terdapat ruang mata wang utama ini akan terus lemah.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan kukuh terhadap dagangan ringgit hari ini tetapi terus memerhati pergerakannya dalam julat antara RM4.09 hingga RM4.15 minggu ini," katanya dalam nota kajian. 

 

Pada mesyuarat yang telah berakhir semalam, Fed mengekalkan kadar dasar pada tahap semasa iaitu 0 hingga 0.25%, langkah yang sangat diharapkan memandangkan ekonomi AS masih berdepan cabaran krisis kesihatan. 

 

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan Fed akan mengekalkan kadar faedah semasa yang rendah sepanjang tahun ini sehingga 2023. 

 

"Adalah sesuatu yang tidak mengejutkan apabila ia tidak membuat sebarang perubahan kepada pembelian aset selepas mesyuarat ini. 

 

"Pengerusi Fed, Jerome Powell sebelum ini berulang kali menolak kebimbangan berlakunya jangkaan kenaikan inflasi meskipun pasaran menjangkakan Fed akan menangani peningkatan hasil bon seperti bank pusat yang lain," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan Fed akan berkongsi garis panduannya mengenai kemungkinan perubahan ke atas program pembelian aset pada mesyuaratnya akan datang. 

 

"Tetapi, ini bergantung kepada betapa pantas pemulihan dalam aktiviti ekonomi di AS tahun ini," katanya. - DagangNews.com