Meta Bright meterai perjanjian bekalan tenaga solar dengan Cherengin Hills | DagangNews Skip to main content

Meta Bright meterai perjanjian bekalan tenaga solar dengan Cherengin Hills

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Meta Bright Group Berhad (MBGB) menerusi FBO Land (Serendah) Sdn Bhd (FLSBB) dan Doople Tech Sdn Bhd (Doople) memeterai perjanjian bekalan tenaga solar bersama Cherengin Hills Sdn. Bhd. (Cherengin Hills).

 

Perjanjian itu menandakan langkah strategik kumpulan bagi mengukuhkan amalan mampan dalam industri hospitaliti dan pada masa sama memajukan matlamat tenaga negara.

 

Menerusi perjanjian itu, FLSBB akan memasang, menyelenggara dan mengendalikan sistem solar fotovoltaik (PV) di Cherengin Hills, Pahang dan sistem itu akan menyediakan keluaran elektrik bersih selama 21 tahun bermula dari tarikh mula operasi.  

 

Perjanjian itu mandakan penyertaan pertama MBGB dalam rumusan tenaga solar dalam industri hospitaliti dan merancang untuk terus mengembangkan penglibatan mereka dalam sektor itu.

 

Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik di Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, Cherengin Hills sedang mengorak langkah ke arah kemampanan dan pihaknya berbangga kerana dapat memainkan peranan untuk memudahkan urusan peralihan itu.

 

Beliau berkata, dengan memanfaatkan penggunaan tenaga solar, pihaknya menyumbang kepada alam sekitar serta mempamerkan daya maju ekonomi hijau dalam sektor hospitaliti.

 

"Penyertaan MBGB ke dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) menandakan strategi yang lebih luas dalam pengawasan korporat yang bertanggungjawab dan mencerminkan pandangan jauh kumpulan dalam menyelaraskan operasi perniagaan dengan trend kemampanan global," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kerjasama dengan Cherengin Hills menandakan satu lagi pencapaian MBGB kerana ia mengukuhkan kehadirannya dalam landskap perniagaan Malaysia, dengan tumpuan ke arah kemampanan.

 

MBGB berjaya menyiapkan pemasangan projek bernilai sekitar RM3.55 juta setakat ini dan sedang melaksanakan projek berniali RM11.89 juta ketika ini. - DagangNews.com