MGTC sasar pelaburan RM1.6 bilion dalam IGEM 2020 | DagangNews Skip to main content

MGTC sasar pelaburan RM1.6 bilion dalam IGEM 2020

Shamsul Bahar Mohd. Nor

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd. Nor

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Malaysian Green Technology And Climate Change Centre (MGTC) menyasarkan jumlah pelaburan sebanyak RM1.6 bilion dalam Pameran dan Persidangan Antarabangsa Greentech & Eko Produk (IGEM) 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd. Nor berkata, jumlah tersebut diletakkan susulan pengajuran IGEM 2020 yang bakal dijalankan secara maya akibat penularan wabak COVID-19.

"IGEM dijalankan setiap tahun secara fizikal. Tapi untuk tahun ini kami akan jalankan secara maya.

"Sasaran kami sebenarnya RM3.2 bilion, tetapi bila MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) rumuskan balik, kita hanya boleh sasarkan taget RM1.6 bilion," katanya dalam majlis Hi-Tea MGTC bersama media di ibu negara hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.

IGEM 2020 bakal berlangsung selama lima hari bermula 19 hingga 23 Oktober 2020.

Tambah beliau lagi, penganjuran IGEM pada tahun lalu berjaya meraih peroleh pelaburan bernilai RM 6 bilion.

"Pihak kami juga mensasarkan potensi pelaburan bernilai RM29.09 bilion untuk jangka masa 10 tahun penganjuran.

"Kalau sebelum ni kita jalankan program tersebut selama tiga hari dan ramai yang datang dan perdagangan boleh dilakukan, tetapi disebabkan secara maya tahun ini kami terpaksa kurangkan sedikit sasaran tersebut," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, MGTC percaya penganjuran secara maya itu mampu memberi peluang besar kepada semua pihak termasuk di peringkat antarabangsa untuk terlibat sama.

Jelasnya, IGEM 2020 setakat ini sudah berjaya menarik minat beberapa syarikat besar di luar negara seperti China, Eropah dan Kanada untuk mempamerkan barangan dan produk masing-masing.

"Mudah sahaja, kalau sebelum ni kita jalankan selama lapan jam, tetapi tahun ini kita akan jalankan selama 24 jam dan boleh disaksikan secara serentak di seluruh dunia.

"Kami juga menjangkakan penyertaan seramai 10,000 orang pelayar dalam satu-satu masa untuk IGEM 2020," katanya. - DagangNews.com