KUALA LUMPUR 29 Jan – Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) berpendapat langkah Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penjualan rokok dan vape kepada rakyat Malaysia yang lahir selepas 2005, hanya akan menimbulkan kesan negatif.
Dalam kenyataan media hari ini, MICCI menyokong usaha KKM untuk mengurangkan kadar merokok negara, namun pihaknya tidak boleh menerima penetapan dasar dan peraturan sewenang-wenangnya tanpa perundingan yang sewajarnya dan membuat keputusan berasaskan sains semata-mata.
‘’Ia boleh menimbulkan kepincangan yang juga mampu menjejaskan sektor lain.
‘’MICCI percaya bahawa keputusan yang terburu-buru ini mungkin menjadi menimbulkan kesan negatif yang berbalik pada kerajaan dan larangan itu akan mendorong pengguna tidak kira umur untuk beralih kepada pasaran gelap,’’ kata pertubuhan tersebut.
MICCI percaya bahawa semua dasar mesti dikaji dengan baik serta dipertimbangkan dengan teliti sebelum pelaksanaan.
‘’Jika tidak, ia boleh menyebabkan penguatkuasaan tidak konsisten dan menghantar mesej yang salah kepada pelaburan serta komuniti perniagaan. Langkah ini juga akan mewujudkan pasaran gelap yang tidak terkawal bagi rokok dan vape.
‘’Produk seludup yang tidak terkawal dan mengandungi bahan berbahaya inilah yang patut dibanteras dan diatasi terlebih dahulu,’’ kata MICCI.
Mengambil contoh pengenalan duti eksais rokok yang tinggi bagi mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia, ia sebaliknya telah menyebabkan enam daripada setiap 10 bungkus rokok yang dijual di Malaysia adalah haram.
Pasaran gelap tembakau di Malaysia kini menguasai 57% bahagian daripada jumlah pasaran rokok menjadikan Malaysia negara nombor satu dunia bagi rokok haram.
‘’Ini menunjukkan bahawa duti eksais yang tinggi tidak mencapai objektifnya untuk menghalang rakyat Malaysia untuk merokok,’’ kata MICCI.
Kini, KKM telah memilih untuk memperkenalkan satu lagi langkah yang akan mendorong pengguna dewasa masa hadapan ke arah produk pasaran gelap.
MICCI menggesa agar kerajaan mempertimbangkan terlebih dahulu memperkenalkan polisi pengurangan kemudaratan yang telah terbukti mampu menggalakkan perokok beralih kepada produk yang kurang memudaratkan produk tanpa pembakaran dan vape.
Pelbagai kajian antarabangsa telah menunjukkan bahawa produk tanpa pembakaran atau vape adalah kurang memudaratkan. Negara yang telah menerima pakai dasar pengurangan kemudaratan telah terbukti berkesan.
Malah New Zealand yang ingin dicontohi oleh KKM menggalakkan dan mengiktiraf produk alternatif sebelum mengumumkan rancangan mereka.
‘’KKM tidak boleh menolak data kejayaan ini dan harus melihat ke arah memperkenalkan peraturan pengurangan kemudaratan yang komprehensif yang melindungi kesihatan rakyat Malaysia dan membenarkan perniagaan tempatan terus menyumbang duti eksais,’’ kata MICCI.
MICCI percaya langkah awal yang perlu diambil adalah dengan mengurangkan kemudaratan dengan menangani penjualan haram produk tembakau dan vape tidak terkawal.
‘’Kami merasakan pendekatan yang dicadangkan itu tidak memberi perhatian kepada isu yang sepatutnya umpama Kuman di seberang laut nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak iaitu industri yang menjana pendapatan dari cukai yang tinggi sebaliknya mengabaikan produk haram yang berbahaya dan tidak dikawal.
‘’Adakah tujuan langkah baharu ini dapat dicapai dengan mendorong pengguna ke arah produk haram yang tidak terkawal?,’’ soal MICCI. – DagangNews.com