Microsoft ambil alih ZeniMax tunjukkan fokusnya ke atas permainan video | DagangNews Skip to main content

Microsoft ambil alih ZeniMax tunjukkan fokusnya ke atas permainan video


NEW YORK 22 Sept. - Microsoft Corp. mengumumkan hasrat untuk mengambil alih ZeniMax Media, syarikat induk kepada firma penerbitan permainan video Bethesda Softworks, bernilai AS$7.5 (RM31) bilion.

Gergasi teknologi dunia itu dilihat tangkas melaksanakan rancangan perniagaan selepas gagal membeli sayap perniagaan TikTok di Amerika Syarikat.

Menurut Marketwatch.com, dengan pengambilalihan ZeniMax Media itu, ia menyaksikan ruang untuk penambahbaikan ke atas perkhidmatan streaming Game Pass dengan menambah francais dimiliki Bethesda seperti  “The Elder Scrolls” and “Fallout.”

Penganalisis dari firme Wedbush, Daniel Ives berpendapat rancangan pengambilalihan berkenaan sebagai ‘langkah strategik pintar” yang akan mengukuhkan Game Pass, membawa masuk pasukan pencipta permainan baharu, dan membolehkan syarikat meraih manfaat daripada “Starfield,” satu permainan yang meningkat popular.

“Kami maklum pengambilalihan ini menyusul sejurus kegagalan urus niaga TikTok di mana Satya Nadella (ketua eksekutif Microsoft) memberi tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan bilangan pengguna manakala perniagaan utama enterprise/cloud Azure dan Office 365 terus berkembang pesat,” kata Ives yang mengunjurkan harga saham Microsoft berada di paras AS$260 (RM1,075).

Menurut beliau, urus niaga tersebut tepat dari segi strategi yang dilaksanakan oleh Microsoft untuk mencipta 'keluaran konsol baru yang dinanti-nantikan’ dan mengenengahkan bagaimana Microsoft ‘memperakui keperluan untuk mewujudkan pertumbuhan perolehan berasaskan pengguna’, yang mana pengambilalihan ke atas ZeniMax menepati matlamat itu.

Ketua Eksekutif Microsoft, Satya Nadella dalam kenyataan media berkata, kandungan berbeza berkualiti adalah enjin di sebalik pertumbuhan dan nilai bagi Xbox Game Pass, dan pada masa sama menyatakan permainan video atas talian sebagai ‘kategori paling mahal di dalam industri hiburan’.

 

microsoft
Satya Nadella


Syarikat merancang untuk membawa produk sedia ada Bethesda masuk ke Game Pass dan menambah ciri-ciri permainan ke dalam perkhidmatan pada hari sama mereka melancarkan Game Pass untuk Xbox dan PC.

Microsoft menjangkakan urus niaga dengan ZeniMax Media dimuktamadkan pada separuh kedua fiskal 2021 dan ia akan memberi `impak minimal’ kepada pendapatan operasi syarikat bagi fiskal 2021 dan 2022.

Seorang lagi penganalisis firma Evercore ISI, Kirk Materne berkata, sementara pihaknya menjangkakan pengambilalihan itu tidak menjejaskan Microsoft dari segi jangka pendek bila dibandingkan dengan besarnya Microsoft, pihaknya percaya urus niaga itu mengisyaratkan bahawa Microsoft adalah serious mengenai permainan video di dalam talian.

Menurut Martene, permainan video itu boleh menjadi ‘tonggak ketiga’ bagi pelaburan Microsoft pada tahun-tahun mendatang bila permainan video menjadi bahagian lebih penting di dalam industri.

“Ketika itu, vendor yang boleh memberikan penggemar permainan video suatu pengalaman unik menerusi gabungan kandungan dan platform yang hebat, adalah di kedudukan terbaik untuk meraih syer di dalam pasaran permainan video bernilai AS$109 (RM450.7) bilion,’’ katanya. – DagangNews.com