MIDF kekal saranan 'beli' ke atas Inari selepas pendapatan kumpulan meningkat | DagangNews Skip to main content

MIDF kekal saranan 'beli' ke atas Inari selepas pendapatan kumpulan meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham-saham Inari Amertron Berhad dengan sasaran harga RM4.55 selepas pendapatan kumpulan itu meningkat terutama dalam segmen frekuensi radio (RF) dan merupakan proksi rapat kepada pelancaran serta penerimaan 5G.

 

Firma penyelidikan itu berkata, usaha kumpulan itu memasuki pasaran China dengan gandingan bersama China Fortune-Tech Capital Co. Ltd (CFTC) dan sokongan Semiconductor Manufacturing International Corporation (SMIC) bagi mewujudkan perkhidmatan pemasang dan penguji semikonduktor penyumberan luar (OSAT) di negara itu dalam usaha memacu pendapatan pada masa akan datang.

 

"Berdasarkan kepada pendapatan kumpulan, ia adalah selaras dengan jangkaan dan kami tidak akan membuat sebarang perubahan sasaran terhadap pendapatan kumpulan.

 

"Kami membuat penilaian premium itu berdasarkan kepada jangkaan kitaran positif dalam industri semikonduktor.

 

"Berdasarkan kepada operasi, kami juga menjangkakan margin keuntungan akan meningkat selepas mengambil kira langkah pengawalan kos serta pebelanjaan modal kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Inari mencatatkan untung bersih RM107.29 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM90.09 juta pada suku tahun sebelumnya.

 

Hasil meningkat 11.5% kepada RM420.25 juta daripada RM376.83 juta sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan dalam semua segmen perniagaan.

 

Selaras dengan pendapatan yang kukuh bagi 2QFY22, kumpulan itu mengumumkan pemberian dividen sebanyak 2.8 sen berbanding 2.5 sen pada 2QFY21. - DagangNews.com