MIDF kekal saranan 'beli' selepas Dialog Group sasar jadikan PDT hab petroleum terbesar Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

MIDF kekal saranan 'beli' selepas Dialog Group sasar jadikan PDT hab petroleum terbesar Asia Pasifik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham-saham Dialog Group Berhad dengan harga sasaran RM3.80 selepas kumpulan itu akan menjadikan Pengerang Deepwater Terminals (PDT) sebagai hab petroleum dan petrokimia terbesar di Asia Pasifik untuk aktiviti pertengahan.

 

Firma itu berkata, Dialog Terminals Langsat (DTL) masih mempunyai tanah seluas 17 ekar dan kumpulan itu mungkin meningkatkan kapasiti penyimpanan sebanyak 200,000 meter padu (m3) menjadikan kapisiti penyimpanan di DTL sebanyak 1 juta m3.

 

"Kumpulan itu juga akan terus membangunkan kepakaran dan merekodkan perkhidmatan teknikal dalam industri hiliran.

 

"Kumpulan itu juga sudah memulakan operasi kitar semula palet polyethylene terephthalate sebagai sebahagian daripada agenda amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG).

 

"Mereka juga akan terus mengembangkan industri huluan mereka dan pada masa sama menjadi prospek baharu dalam pembangunan serta perkhdimatan pembuatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Untung bersih Dialog Group bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2021 meningkat kepada RM127.88 juta daripada RM121.81 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2021.

 

pdt

 

Perolehan syarikat minyak dan gas itu turut melonjak 55.1% kepada RM544.49 juta daripada RM350.95 juta bagi tempoh yang sama, disumbangkan oleh operasi Malaysia dan antarabangsa.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti huluan meraih manfaat daripada harga minyak mentah yang lebih tinggi dan pada masa sama tangki penyimpanan Dialog Terminals Pengerang (5) Sdn Bhd (DTP5), yang beroperasi pada Februari 2021, menyumbang kepada peningkatan perolehan bagi aktiviti pertengahan.

 

pdt

 

DTP5 mempunyai kapasiti penyimpanan 430,000 meter padu dan dikhususkan untuk kegunaan BP Singapore Pte. Ltd.

 

Katanya, pelbagai cabaran perlu dihadapi kumpulan itu termasuk peraturan COVID-19, gangguan rantaian bekalan, peningkatan harga bahan mentah dan kos logistik yang bakal memberi kesan kepada keuntungan mereka.

 

pdt

 

"Mengenai peringkat antarabangsa, Dialog menambah, ia mencatatkan perolehan lebih tinggi bagi suku tersebut dan tahun kewangan 2022 setakat ini dengan peningkatan jualan produk dan perkhidmatan khusus selain pembekalan perkhidmatan loji di beberapa negara. - DagangNews.com