MIDF kekalkan ramalan KDNK -4.8% | DagangNews Skip to main content

MIDF kekalkan ramalan KDNK -4.8%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Dis. - MIDF Research masih mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada -4.8% tahun ini.

 

Berdasarkan perkembangan dan petunjuk terkini, ekonomi sedia untuk terus memulih, kata firma penyelidik itu. 

 

Bagaimanapun, pemulihan itu dijangka beransur-ansur memandangkan sentimen masih lagi lemah kerana peningkatan semula kes COVID-19 dalam negara dan juga secara global. 

 

Ini bertambah buruk apabila terdapat risiko lain seperti situasi politik serta ketegangan fahaman perlindungan dan geopolitik. 

 

“Secara domestik, peningkatan kes COVID-19 telah mendorong hampir semua negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

 

“Walaupun PKPB kali ini kurang ketat berbanding yang dahulu dan hampir semua aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP), namun ia masih mempunyai impak ke atas pengukuhan permintaan domestik susulan sekatan pergerakan fizikal. 

 

“Dalam erti kata lain, kami mengenal pasti bahawa impak utama PKPB ke atas ekonomi adalah daripada perbelanjaan pengguna yang lemah dan kesan limpahan ke atas industri runcit, terutamanya sub-sektor seperti perdagangan runcit, restoran, hotel, pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan rekreasi,” kata MIDF dalam laporan ekonominya hari ini. 

 

Jelas firma penyelidik itu, indeks pelopor (IP) yang terus meningkat menunjukkan Malaysia di landasan pemulihan betul. 

 

Katanya, kadar pertumbuhan IP itu yang paling kukuh dalam tempoh dua dekad walaupun berdepan cabaran semasa akibat pandemik COVID-19.

 

“Ketika sempadan antarabangsa masih ditutup, sokongan daripada aktiviti pelancongan domestik akan dibendung susulan PKPB.

 

“Bagaimanapun, kami percaya risiko ke atas penggunaan akan dikurangkan dengan pembelian dalam talian yang kian melonjak, dipermudahkan menerusi platform e-perdagangan, perkhidmatan penghantaran ke rumah dan kewangan dalam talian seperti e-dompet dan perbankan dalam talian. 

 

“Dalam pada itu, pakej rangsangan yang diumumkan selain pemotongan 125 mata asas kadar dasar semalaman (OPR) terus menyokong pemulihan ekonomi,” tambah MIDF. - DagangNews.com