Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 14 Sept. - MIDF Research mengekalkan saranan 'jual' saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) susulan jangkaan pemulihan syarikat berkenaan adalah rendah.
MIDF Research berkata, pengekalan saranan itu juga dinilai berdasarkan kepada beberapa faktor penting yang mempengaruhi prestasi semasa MAHB.
"Selepas perintah berkurung pada suku kedua 2020, perjalanan domestik dan jarak dekat mula mendapat permintaan dari suku ketiga 2020 dan seterusnya. Tetapi perjalanan jarak jauh dijangka akan mengambil masa yang lebih lama untuk beroperasi.
"IATA (Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa) turut menjangkakan RPK (Revenue Passenger Kilometers) domestik dijangka menurun sekitar 40% pada 2020, sementara RPK antarabangsa dijangka menurun sekitar 60%," jelas MIDF Research.
Jumlah penumpang dijangka mencatatkan penurunan yang lebih teruk sekitar 50% pada 2020 turut menjadi faktor saranan tersebut dibuat.
Pada Jumaat lalu, MAHB mengeluarkan statistik operasinya bagi bulan Ogos yang menyaksikan jumlah pergerakan penumpang pada bulan berkenaan adalah 1.43 juta berbanding 9.3 juta pada tahun lalu.
Secara keseluruhannya, pergerakan penumpang pada tahun semasa hingga Ogos adalah 32.7 juta berbanding 93.51 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Tambah MIDF Research, keyakinan pengguna terhadap perjalanan udara memerlukan masa untuk kembali pulih meskipun kerajaan mula membuka sekatan perjalanan.
Penghasilan dan peluang akses kepada vaksin adalah kunci untuk pemulihan kepada sektor penerbangan.
"Kami kekalkan harga sasaran sesaham (TP) pada RM4.52 kerana tiada semakan semula dalam anggaran pendapatan," jelas MIDF Research. - DagangNews.com