MIDF positif dengan penyertaan FGV dalam beras wangi, kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

MIDF positif dengan penyertaan FGV dalam beras wangi, kekal saranan 'beli'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - MIDF Research optimis FGV Holdings Bhd. mampu mencapai sasaran 3.5% penguasaan beras wangi tempatan menjelang akhir 2025 menerusi pelaksanaan program Beras Wangi Fortified Field (3FR). 

 

FGV pada Rabu memaklumkan, kumpulan kini giat menerokai pasaran beras wangi, menerusi anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF).

 

Program 3FR itu menggabungkan kepakaran FGV dalam peningkatan prestasi sawah menerusi Pertanian 4.0 dan ketepatan perladangan yang menjimatkan dan lestari.

 

Dengan menggunakan jenama SAJI, FGV komited untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) industri beras di Malaysia dan ia dapat dilakukan menerusi program 3FR FGV yang menyokong program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), yang dimulakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

 

"Kami positif dengan perkembangan ini kerana ia mampu meningkatkan pendapatan FGV terutama dalam perniagaan beras wangi dan juga produktiviti memandangkan program 3FR ini menggabungkan kepakaran FGV.

 

"Malah, kami juga yakin dengan keberkesanan pelaksanaan program 3FR akan meningkatkan prestasi terutama menerusi Pertanian 4.0 dan ketepatan perladangan, sasaran yang diletakkan FGV boleh dicapai," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : FGV teroka pasaran beras wangi

 

MIDF Research berkata, program 3FR dijangka tidak memberi kesan ke atas pendapatan FGV bagi tahun kewangan 2021. 

 

Firma itu juga mengekalkan harga sasaran pada RM2.36 sesaham dengan saranan 'beli' ke atas saham FGV.

 

"Beserta dengan kejayaan program ini dan juga harga minyak sawit mentah yang tinggi serta pengeluaran buah tandan segar yang sederhana, ia dilihat akan menjana prestasi kewangan yang lebih baik kepada kumpulan. 

 

"Pada masa sama, kami melihat harga purata jualan bagi gula bertapis dan peningkatan jumlah jualan dapat membantu MSM Malaysia Holdings Bhd. mencapai margin keuntungan yang lebih tinggi pada suku akan datang," jelasnya. - DagangNews.com