KUALA LUMPUR 7 April - MIDF Research kekal 'positif' terhadap sektor teknologi dengan industri pembuatan semikonduktor akan menjadi pemacu pertumbuhan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, penggunaan teknologi 5G dan inovasi metaverse juga akan menyumbang kepada peningkatan permintaan dalam penggunaan telefon pintar, perkembangan infrastruktur yang didorong oleh Kecerdasan Buatan (AI), sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV).
"Kami kekal positif dengan sektor teknologi dan antara syarikat semikonduktor pilihan kami adalah Inari Amerton Berhad (beli dengan harga sasaran (TP) RM4.55), Unisem (M) Berhad (beli, TP: RM4.33) selepas mengambil kira pendedahan kumpulan itu kepada kandungan frekuensi radio (RF) dalam penggunaan telefon pintar 5G.
"Kami juga mimilih Globetronics Technologi Berhad (Beli TP: RM2.00) selepas diberikan pendedahan mengenai produk berteknologi tinggi dalam pelbagai aplikasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan perbelanjaan modal (capex) adalah perlu dalam kesemua rantaian nilai semikonduktor adalah penting dalam memenuhi permintaan dalam semua sektor ekonomi.
Katanya, pada 2010, capex untuk semikonduktor mencecah AS$54.0 bilion (RM228 bilion) dan meningkat kepada AS$150 bilion (RM632.3 bilion) dalam tempoh sedekad kemudian.
"Selepas mencatatkan perkembangan sebanyak 36% pada 2021, capex industri semikonduktor dijangka meningkat 24% pada 2022 kepada nilai tertinggi iaitu AS$190.4 bilion (RM806.2 bilion) atau peningkatan 86% dalam tempoh tiga tahun sejak 2019.
"Sekiranya perbelanjaan modal meningkat melebihi 10% pada 2022, ia menandakan peningkatan perbelanjaan kepada dua digit dalam tempoh tiga tahun dalam industri itu sejak tempoh 1993 hingga 1995," katanya. - DagangNews.com