MIDF Research kekal unjuran eksport barangan Malaysia berkembang 5.2% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran eksport barangan Malaysia berkembang 5.2% pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - MIDF Research mengekalkan unjuran eksport barangan Malaysia akan pulih dan berkembang pada kadar 5.2% tahun ini.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu turut menyemak naik unjuran pertumbuhan import kepada 11.2% berdasarkan pemulihan lebih pantas memandangkan import lebih teguh pada 13.8% dari tahun ke tahun pada separuh pertama tahun ini berbanding eksport pada 3.9%

 

"Kami meramalkan pemulihan dalam perdagangan barangan elektrik dan elektronik (E&E) global dan peningkatan luas dalam permintaan luar bagi menyokong pemulihan eksport keseluruhan tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dagangan Malaysia naik 8.7% kepada RM237.8 bilion pada Jun 2024, eksport bertambah 1.7% - DOSM

 

Terdahulu, prestasi positif itu didorong pertumbuhan import 17.8%, mencecah RM111.8 bilion dan eksport 1.7%, bernilai RM126 bilion pada Jun 2024.

 

Prestasi eksport Malaysia meningkat pada Jun 2024 seiring dengan peningkatan eksport domestik, menyumbang 79.7% kepada jumlah eksport, meningkat 7.1% kepada RM100.4 bilion sebaliknya, eksport semula turun 15.1% berbanding Jun 2023, bernilai RM25.6 bilion, menyumbang 20.3% kepada jumlah eksport. 

 

Sementara itu, import bernilai RM111.8 bilion, meningkat 17.8%. Lebihan dagangan menurun 50.8% kepada RM14.3 bilion, mencatatkan lebihan bulan ke-50 berturut-turut sejak Mei 2020.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan pelaburan domestik akan menyokong import untuk terus berkembang dengan kukuh tahun ini.

 

Bagaimanapu, MIDF Research menjangkakan perdagangan akan pulih tetapi mereka kekal berhati-hati terhadap konflik geopolitik yang berterusan serta ketegangan perdagangan selain prospek pertumbuhan yang lemah dalam pasaran utama (seperti Amerika Syarikat dan China) akan memberi kesan negatif kepada tinjauan perdagangan.
- DagangNews.com